Categories
SELANGOR

DYMM Sultan Selangor: Peka kebersihan perparitan elak banjir kilat

Oleh: AFEEQA AFEERA

KLANG, 12 DIS: Agensi Kerajaan Negeri perlu peka terhadap kebersihan longkang, tali air dan sungai untuk memastikan kelancaran aliran air, titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah, kerja pembersihan perlu dilakukan dengan kerap bukan hanya menunggu sehingga berlaku banjir yang akan menyusahkan rakyat.

MB & SULTAN“Rakyat Selangor harus faham pentingnya menanam pokok di persekitaran mereka dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula harus mengadakan kempen menanam pokok di tepi jalan dan tempat lapang.

“Beta dapati di Shah Alam banyak pokok ditebang untuk melebarkan jalan menyebabkan tanah menimbus longkang pengaliran air hingga terjadinya banjir kilat yang menyusahkan rakyat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Hari Keputeraan ke-70 di Balairung Seri, Istana Alam Shah Klang, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan supaya hutan simpan dijaga sebagai khazanah negara dan tidak diwarta, diceroboh, ditebang atau dimusnahkan untuk tujuan pembangunan.

Baginda turut bertitah, pokok yang tumbuh di atas muka bumi memainkan peranan penting dalam kehidupan untuk memberi udara bersih dan nyaman serta keselesaan bagi berteduh dan beriadah.

banjir subang“Dalam keadaan semasa, kita dapati banyak kejadian cerun dan tanah runtuh yang menimbus lebuh raya serta meragut nyawa manusia.

“Kejadian tanah runtuh berlaku antaranya disebabkan pokok ditebang dengan sewenang-wenangnya,” titah baginda.

Selain itu, baginda juga mahu rakyat Selangor memahami kebersihan alam sekitar dengan membuang sampah sarap secara baik dan teratur.

Titah baginda, ia bagi mengelakkan daripada timbulnya wabak denggi dan penyakit berjangkit lain yang dibawa serangga atau haiwan pembawa penyakit.

“Kerajaan akan memulakan pembuangan sampah sarap secara kitar semula dan rakyat perlu bekerjasama dan patuh akan perkara ini supaya ia dapat dilakukan dengan sempurna untuk memastikan persekitaran bersih serta sihat,” titah baginda.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.