Categories
SELANGOR

DYMM Sultan Selangor: Pembangunan terbantut jika salah guna kuasa

Oleh: AFEEQA AFEERA

KLANG, 12 DIS: Pembangunan dan kemajuan Selangor akan terbantut jika pihak diamanahkan baik daripada kerajaan atau swasta menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan sendiri, titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah, keamanan negeri akan rosak apabila rasuah berlaku dalam pentadbiran kerajaan dan swasta termasuk badan sukan serta institusi agama.

Titah baginda, ekonomi Selangor turut merosot dan menurun ekoran rasuah selain menjadi punca pelabur asing berpindah ke negara lebih telus pentadbirannya.

sultan“Jika tidak dibendung gejala rasuah dengan serius, maka akan timbul ketidapuasan hati rakyat dan ekonomi negeri akan menurun selain timbul pula kemiskinan serta politik tidak stabil.

“Apabila rasuah dibiarkan berleluasa, maka hasil negeri akan disalah gunakan dan pendapatan negeri akan lesap.

“Justeru rakyat tidak akan berpuasa hati, negeri menjadi kacau bilau serta tidak dapat hidup dengan selesa dan harmoni,” titah baginda sempena Hari Keputeraan ke-70 di Balairung Seri Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Baginda juga menitahkan supaya kerjasama erat antara Kerajaan Selangor, Persekutuan dan swasta perlu berjalan baik untuk memastikan kemajuan negeri berjalan lancar.

Baginda bertitah, ia selaras dengan pembangunan pesat Selangor dalam segala bidang seperti pembangunan, perumahan, perindustrian dan perladangan.

“Pertumbuhan rakyatnya amat pesat dan perumahan perlu banyak dibina. Pelbagai lagi kemajuan yang dilakukan Selangor untuk menampung pertambahan rakyat yang semakin ramai berhijrah ke negeri bertuah ini,” titah baginda.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.