Categories
SELANGOR

Exco: Jangan jadikan pendidikan agama gula-gula politik

Oleh: NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 5 DIS: Umno cuba menjadikan pendidikan agama di Selangor sebagai gula-gula politik apabila Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Noh Omar menawarkan pendidikan sekolah agama percuma sekiranya berjaya merampas negeri termaju itu.

Hal ini berikutan Umno tidak pernah mengambil peluang melaksanakan cadangan terbabit ketika lebih 50 tahun mentadbir Selangor dan juga di negeri yang masih dikuasainya sehingga sekarang.

Exco Hal Ehwal Agama Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata gula-gula politik ini dikukuhkan lagi apabila Kerajaan Persekutuan sehingga kini lebih banyak meletakkan tanggungjawab pembiayaan sekolah agama di bahu Kerajaan Selangor.

Yunus-Hairi“Bibit-bibit yang tidak sihat apabila pendidikan agama dijadikan gula-gula politik semasa pilihan raya untuk merampas kuasa kerana Kerajaan Selangor sudah memberikan yang terbaik kepada pentadbiran dan pelajar sekolah agama.

“Ia diikuti dengan beberapa peruntukan tidak kira sama ada sekolah itu di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri atau persendirian,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku di Daerah di Masjid Ar-Rahman Hulu Bernam di sini, malam tadi.

Yunus berkata, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri perkasakan sekolah agama kerana keperluan agenda pembangunan generasi akan datang terletak di bidang pendidikan.

“Kerajaan Negeri banyak menyumbang dari peringkat sekolah agama rendah dengan buku teks percuma dan bangunkan sekolah menengah maktab integrasi untuk mertabatkan pendidikan dalam kalangan anak kita,” katanya.

noh omar pic 1Jelasnya, tawaran Noh Omar itu bukan satu tawaran yang jujur apabila Kerajaan Persekutuan sendiri hanya membayar elaun sebanyak RM800 sebulan kepada 2,500 orang guru kafa berbanding jumlah keseluruhan seramai 6,900 guru yang menerima elaun sebanyak RM1,300 sebulan.

Dr Ahmad Yunus berkata, sementara bayaran Kerajaan Pusat kekal pada paras sama sejak 2008 lagi, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan beberapa kali menaikan elaun guru kafa sehingga mencecah RM1,500 bermula Januari tahun hadapan.

“Bahkan Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM6 juta setiap tahun tanpa putus, malah pada tahun ini kita adakan peruntukan khas kepada sekolah tahfiz termasuk tahfiz persendirian yang mempunyai prasarana uzur dengan membina blok baharu berjumlah RM7.8 juta pada tahun hadapan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.