Categories
SELANGOR

Selangor tubuh jawatankuasa lahir generasi idaman berkualiti

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 DIS: Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial diperingkat negeri akan diwujudkan dengan dokongan penubuhan jawatankuasa bersifat inklusif di peringkat daerah bagi mengatasi punca utama perosak modal insan di Selangor.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ketetapan itu diambil bagi memastikan golongan belia Selangor terpelihara sekaligus menjadi modal insan berkualiti penyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

GENERASI IDAMAN SELANGOR GEMS“Penubuhannya membabitkan pelbagai jabatan dan agensi seperti Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis DiRaja Malaysia (Polis), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai aktiviti menarik dan amat sesuai dengan gaya hidup masyarakat hari ini di mana antara yang istimewa ialah forum santai dengan barisan panel hebat,” katanya.

Ucapan beliau disampaikan wakilnya, Ketua Penolong Setiausaha (Dasar), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor, Mohd Rizal Sumairi, dalam majlis perasmian Karnival Jelajah Generasi Idaman Selangor (GeMS) Daerah Petaling di sini, hari ini.

Turut hadir, Penolong Pengarah Perhubungan Komunikasi Korporat MPSJ, Zamir Shaini dan wakil Pegawai Daerah Petaling, Penghulu Mohd Khairul Hidayat Nudjaza Ahmad.

KARNIVAL GEMSKarnival Jelajah GeMS bermatlamat melahirkan generasi idaman yang cemerlang dan berdaya saing untuk menjadi aset berkualiti kepada negeri.

Objektif utama pelaksanaan karnival ini adalah memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai langkah menangani gejala sosial secara menyeluruh dan sistematik.

“Ia turut mewujudkan aktiviti alternatif kepada masyarakat khususnya belia serta jaringan kerjasama di antara jabatan dan masyarakat dalam memastikan segala perkhidmatan disediakan dapat dinikmati golongan berkenaan,” katanya.

Pada karnival itu juga diadakan kempen Amal Ma’ruf Nahi Mungkar bertujuan menangani sekali gus meminimumkan senario gejala sosial dan jenayah seperti penagihan dadah, ragut, pecah rumah dan zina.

Selain itu, sebagai alternatif lain satu konvoi kembara dilaksanakan membabitkan kawasan terfokus dengan gejala sosial bertujuan melatih remaja dalam memberi sumbangan bakti kepada masyarakat.

Karnival bagi daerah itu adalah yang ketiga serta terakhir untuk tahun ini selepas Gombak dan Sabak Bernam di mana berjaya mendapat sambutan menggalakkan.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.