Categories
NASIONAL

KEADILAN: TPM patut dedah penswastaan dilulus Najib

OLEH: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 DIS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mendedahkan semua penswastaan yang diluluskan sejak Datuk Seri Mohd Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata Najib sepatutnya mula mengambil tindakan terhadap perjanjian disifatkan berat sebelah bagi memastikan rakyat tidak dibebankan dengan bayaran pampasan tinggi kepada pemegang konsesi.

TOL LEBUHRAYA“Jika beliau tidak berani mendedahkan perjanjian itu dan mengambil tindakan untuk menghentikan kegilaan menswastakan projek kerajaan melalui konsep konsesi, beliau sewajarnya tidak bercakap mengenai perjanjian konsesi lain yang semuanya diluluskan oleh pentadbiran Umno-Barisan Nasional,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Rafizi  turut melahirkan kebimbangan pentadbiran Najib menganugerahkan lebih banyak perjanjian konsesi yang membebankan rakyat berbanding Perdana Menteri terdahulu.

Meskipun beliau bersetuju bahawa banyak perjanjian konsesi lebuh raya dan penjana bebas (IPP) diluluskan pentadbiran Tun Mahathir Mohamad namun bukan bermakna pentadbiran Najib Razak tidak mampu berbuat apa-apa untuk berunding semula perjanjian.

Katanya, KEADILAN sebelum menjelang PRU-13 sudah mencadangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Perjanjian Awam (Public Agreements Commission) untuk menyemak kembali kesemua perjanjian dengan pihak swasta yang melibatkan kepentingan awam.

Suruhanjaya itu juga berhak memutuskan cadangan untuk memastikan kepentingan rakyat lebih dilindungi namun ia tidak diendahkan kerajaan.

“Berdasarkan laporan dan cadangan Suruhanjaya Perjanjian Awam itu, kerajaan boleh mula merundingkan kembali dengan pemegang konsesi itu untuk mengubah perjanjian agar lebih adil kepada rakyat.

“Apatah lagi sebahagian besar dari syarikat swasta pemegang konsesi ini sama ada dimiliki sepenuhnya badan kerajaan (seperti PLUS dan Prolintas) atau saham syarikat itu turut dipegang badan pelaburan kerajaan seperti KWSP, PNB dan lain-lain.

“Sudah tentu ada ruang untuk merundingkan kembali perjanjian konsesi,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.