Categories
KENYATAAN MEDIA

Kezaliman Akta Hasutan berterusan

Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) mengutuk sekeras-kerasnya penahanan terbaru ke atas dua individu semalam dan pada hari Krismas.

Penahanan ke atas Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), saudara Khairul Nizam bin Abd Ghani di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia tidak sepatutnya berlaku.

Semalam, saudara Khairul Nizam hadir secara sukarela ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman (sebelum diarah untuk hadir ke IPD Dang Wangi), bagi membantu siasatan Polis berhubung kenyataan beliau di media sosial berkaitan penahanan saudara Khalid Ismath.

Walaupun Khairul Nizam telahpun hadir secara sukarela dan memberi kerjasama penuh, namun beliau telahpun ditahan oleh pihak Polis dibawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Manakala pada 25 Disember 2015, seorang wanita dari Johor Bahru telah melaporkan salahguna kuasa Polis di media sosial turut ditahan di bawah Akta Hasutan.

Kedua-dua penahanan terbaru ini membuktikan bahawa Akta Hasutan terus disalahgunakan bagi menyekat kebebasan bersuara rakyat biasa.

GHAH menuntut agar siasatan di bawah Akta Hasutan terhadap mereka ini dihentikan dengan segera.

Akta Hasutan tidak harus digunakan ke atas sesiapa yang dilihat mengkritik atau menyoal tindakan pihak berkuasa atau kerajaan.

Akta ini jelas menafikan hak rakyat untuk bersuara seperti dijamin di bawah Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan, mengancam sistem demokrasi negara ini dan perlu dimansuhkan.
Dikeluarkan oleh,
Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH)

Leave a Reply

Your email address will not be published.