Categories
SELANGOR

MDKS hargai 36 pendayung sampan rancak industri pelancongan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 DIS: Seramai 36 pendayung diraikan sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan sumbangan mereka selama ini dalam membangunkan industri pelancongan di Daerah Kuala Selangor.

Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Azahari Sairin, berkata penganjuran dilakukan tahunan oleh MDKS bertepatan bagi mengiktiraf pencapaian pendayung di pusat santuari itu.

Sampan MDKSKatanya, pendayung itu memberikan penerangan dan pengalaman indah untuk melihat keajaiban kelip-kelip kepada pelancong sepanjang menaiki sampan di Pusat Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan.

“Rata-rata pendayung yang mengendalikan sampan di pusat pelancongan ini adalah terdiri daripada penduduk tempatan di Kampung Kuantan. MDKS sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan mereka.

“Pada masa sama, ini adalah penghargaan kepada mereka kerana sentiasa bersama-sama MDKS dalam menjayakan Tahun Melawat Selangor 2015,” katanya dalam kenyataan.

Azahari berkata bagi 2015, MDKS menyasarkan kutipan RM1 juta dan positif untuk mencapai sasaran itu meskipun mendapat saingan hebat daripada pengusaha swasta.

“Dalam usaha berterusan untuk mempromosi pelancongan di Kuala Selangor, MDKS akan mengadakan program Jom Cuti-Cuti Kuala Selangor yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga dan antaranya seperti Pertandingan Memancing, Pertandingan Mewarna, Mini Treasure Hunt dan berbagai lagi,” katanya.

Orang ramai dijemput untuk menyertai Program Jom Cuti-Cuti Kuala Selangor yang akan berlangsung di Taman Ikan Air Tawar, Kuala Selangor pada 20 Disember depan.

Pelbagai hadiah menarik turut disediakan kepada pemenang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.