Categories
KENYATAAN MEDIA

Piala Malaysia: Tahniah Selangor mara ke akhir

Oleh : MOHAMED AZMIN ALI

Saya telah dititahkan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj untuk menyampaikan ucapan tahniah daripada Tuanku kepada pemain-pemain pasukan bolasepak Selangor yang telah berjaya ke perlawanan akhir Piala Malaysia setelah menewaskan Pahang di perlawanan separuh akhir di Shah Alam malam tadi.

Kerajaan Negeri juga merasa amat gembira di atas kejayaan pasukan Gergasi Merah yang telah meraih kemenangan dan mengambalikan kecemerlangan sukan bolasepak Negeri Selangor.

DYMM Sultan Selangor juga menitahkan supaya penyokong pasukan Gergasi Merah dan rakyat Selangor agar terus memberikan sokongan kepada pasukan bolasepak Negeri Selangor di perlawanan akhir pada 12 Disember 2015 dalam tekad untuk menjulang Piala Malaysia setelah 10 tahun terlepas peluang daripada memenangi kejohanan berprestij ini.

Kerajaan Negeri menggesa supaya para penyokong kedua-dua pasukan, Selangor dan Kedah yang hadir di perlawanan akhir nanti akan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi tanpa melunturkan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

Kerajaan Negeri menegaskan supaya kedua-dua pihak dapat menjamin keselamatan dan memupuk perpaduan di kalangan penonton dan penyokong di Stadium Shah Alam dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

Selamat berjuang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.