Categories
SELANGOR

PKNS FC tekad harungi musim 2016 lebih cemerlang

OLEH: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 DIS: PKNS FC mensasarkan persembahan lebih baik dalam mengharungi saingan Liga Perdana musim hadapan.

Bakal bersaing hebat dengan pasukan ternama seperti Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan Sime Darby, PKNS kini sedang memuktamakdkan pemain tempatan yang bakal beraksi musim hadapan.

Pengurus Pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, dua tonggak import Argentina adalah Gonzalo Soto dan Gabriel Guerra dikekalkan sementara dua slot lagi masih belum diputuskan.

PKNS FC1“Pemain sudah memulakan latihan pada 21 Disember lalu dan dalam masa terdekat kita akan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan bagi memantapkan pasukan,” katanya kepada Selangor Kini.

Katanya, skuad PKNS FC bagi musim 2016 dijangka akan diperkenal penghujung Januari depan.

Sepanjang musim 2015, Mahfizul Rusydin menyifatkan prestasi pasukannya memuaskan dan mencapai sasaran terutama beraksi dalam kancah Piala Malaysia hingga mara ke peringkat suku akhir.

Menyentuh perkembangan tonggak import, Patrick Ronaldinho Wleh yang dikhabarkan bakal beraksi bersama Selangor musim hadapan beliau berkata ia masih dalam peringkat perbincangan.

Beliau berkata PKNS FC masih menunggu jawapan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan segala butiran perbincangan tidak boleh didedahkan kepada umum bagi menghormati semua pihak.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.