Categories
SELANGOR

MB: RM47.8 juta atasi banjir Meru

Oleh: HAFIZAN TAIB

KLANG, 17 DIS: Kerajaan Negeri memperuntukan RM47.8 juta bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di DUN Meru dan kawasan berhampiran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata peruntukan besar itu adalah bukti jelas Kerajaan Negeri serius menangani masalah berkenaan.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sudah memulakan beberapa projek penambahbaikan sistem saliran Sungai Binjai di Persiaran Hamzah Alang.

MB lawat kawasan banjir 2015 Meru (7)“Ia membabitkan jarak sejauh 1.5 kilometer bagi fasa pertama dengan kos RM10.5 juta diikuti fasa kedua menerusi peruntukan RM16 juta serta terdapat projek lain yang rancak berjalan di sini dengan jumlah keseluruhan RM47.8 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan banjir Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru di sini, semalam.

Sekurang-kurangnya 192 mangsa daripada 48 keluarga ditempatkan di pusat terbabit.

Katanya, Kerajaan Negeri berpuas hati dengan tanggungjawab dijalankan jabatan dan agensi berkaitan dalam menjaga semua mangsa ditempatkan di situ termasuk ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan pasukannya.

“Kita menyerahkan tanggungjawab kepada JPS bagi menjalankan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan kolam takungan bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.