Categories
SELANGOR

Selangor yakin bekalan air terawat cukup menjelang 2017

Oleh : NORHAYATI UMOR

KLANG, 11 DIS: Bekalan air mentah dan terawat menjelang 2017 mencukupi sekiranya diurus dengan baik.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata ketika ini pihaknya mengawal pelepasan air mentah setiap hari di semua empangan dan lembangan sungai yang membekalkan air mentah kepada loji rawatan air di negeri termaju itu.

Katanya, pengawalan pelepasan air dari empangan yang dilaksanakan membolehkan paras empangan air utama di Selangor mencapai paras 100 peratus kecuali Empangan Sungai Langat.

khusrin“Keadaan ini adalah petunjuk yang jarang berlaku sebelum ini dan yakin bekalan air mencukupi menjelang 2017.

“Ini diperkuatkan lagi kerana bekalan air terawat kepada pengguna menjadi bertambah baik masa ini dan jumlah aduan rakyat yang tidak menerim bekalan air semakin berkurangan berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Jamuan Teh Diraja sempena Sambutan Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor ke 70, di Istana Alam Shah, di sini.

Khusrin turut memuji kecekapan Kerajaan Negeri membolehkan penstrukturan semula industri air negeri berjaya ditamatkan.

empangan Selangpr“Kejayaan ini merupakan hadiah paling bermakna untuk Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor selepas melalui proses perundingan yang amat panjang,” katanya.

Beliau memaklumkan keadaan ekonomi dan kewangan negeri tahun ini bertambah baik berbanding sebelumnya.

Katanya, hasil Kerajaan Negeri meningkat dan sehingga November berjaya mencapai RM2.34 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2014 iaitu RM2.23 bilion.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.