Categories
NASIONAL

Sosma khusus perangi pengganas disalahguna, apa lagi MKN

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 DIS: Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) terdedah disalahguna pemerintah sepertimana Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digubal khusus bagi menangani ancaman keganasan.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata keraguan itu dikukuhkan lagi apabila sejarah membuktikan kerajaan mempunyai kecenderungan menggunakan akta tertentu seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi memberikan tekanan politik terhadap ahli politik pembangkang.

najib-popular“Ini bahaya. Kita sudah lihat akta digubal dengan tujuan spesifik menangani pengganas pun boleh disalahgunakan untuk tangkap pengkritik Perdana Menteri.

“Apatah lagi undang-undang bersifat menindas ini, sudah tentu rakyat dalam bahaya dan demokrasi kita tidak akan lagi wujud kalau Perdana Menteri diberi kuasa begitu besar,” kata Tian Chua kepada Selangor Kini.

Jelasnya, Rang Undang-undang yang baru diluluskan di Dewan Rakyat itu jelas menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyedari bahawa majoriti rakyat tidak lagi berpihak kepada beliau.

“Dia juga sedar, dia tidak boleh menjelaskan isu skandal kerana rakyat tidak percaya dan untuk menyelamatkan diri, pelbagai cara digunakan, tetapi sejarah membuktikan tidak ada diktator yang boleh lawan kekuatan rakyat.

“Memang tepat bila penganalisa dan pemimpin politik mengatakan tindakan ini bermakna mengambil kuasa Yang Dipertuan Agong mengisytiharkan darurat dan beri ke tangan Perdana Menteri. Tak perlu lagi minta kebenaran Agong untuk isytiharkan darurat,” kata Tian Chua lagi.

Terdahahulu, wakil kerajaan BN di Dewan Rakyat tergesa-gesa membentangkan RUU MKN sebelum diluluskan dengan undian belah bahagi yang menyaksikan 107 Ahli Parlimen bersetuju dan 74 lagi menolak.

RUU itu diperkenalkan ketika kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada pada paras paling lemah ekoran pelbagai skandal membabitkan beliau dan dicabar pelbagai pihak dalam dan luar Umno sendiri.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.