Categories
SELANGOR

SUKMA 2016: Selangor umum slogan selepas perkenan Baginda Sultan

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Slogan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 akan diumumkan kelak, kata Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Katanya, tema baru itu sudah dipilih dan menepati ciri-ciri menaikkan semangat pasukan.

AMIRUDIN“Jawatankuasa pengurus sudah membincangkan perkara ini. Pemilihan tema ini menepati ciri-ciri menaikan semangat pasukan dan lebih inklusif kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Karnival Menjunjung Kasih Gen-S 2015 di Padang Stadium Sultan Suleiman, di sini, pagi tadi.

Amirudin berkata, pihaknya terlebih dahulu akan mengajukan tema baru itu kepada pihak Sultan dan Kerajaan Negeri.

“Saya mengambil maklum kelulusan dari pihak Sultan. Setakat ini jawatankuasa mengurus tidak mempunyai masalah pada slogan itu.

“Cuma kita akan mengajukan kepada pihak Kerajaan Negeri,” katanya.

KITA LAWANSebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa baginda tidak berkenan dengan penggunaan slogan “Kita Lawan” untuk kontinjen Selangor yang akan beraksi di temasya itu.

Titah baginda slogan “Kita Lawan” itu telah diguna pakai oleh sebuah parti politik.

Baginda tidak mahu masyarakat umum tersalah tafsir atau menganggap bahawa kontinjen Selangor mencampur-adukkan atau cuba berpolitik di dalam sukan.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.