Categories
SELANGOR

Zainal Abidin Hasan jurulatih baru Red Giants

SHAH ALAM, 31 DIS: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memuktamadkan kontrak melantik Zainal Abidin Hassan sebagai jurulatih skuad bolasepak Selangor yang baru bagi tempoh dua tahun.

Perkara itu diumumkan Pengurus Pasukan Liga Super Selangor, Amirudin Shari menerusi laman facebooknya hari ini.

Perlantikan Zainal dibuat setelah mengambil kira pengalaman dan pencapaian beliau selaku jurulatih sejak hampir 14 tahun yang lalu.

Zainal akan memulakan tugas rasmi selaku jurulatih pasukan Selangor esok dan akan mengemudi latihan pasukan bermula 5 Januari 2016.

AMIRUDIN“Kehadiran Zainal diharap dapat meningkatkan prestasi dan keupayaan kem kejurulatihan Selangor bagi menghadapi musim 2016 yang mencabar,” katanya.

Berhubung kedudukan Mehmet Durakovic, Amirudin berkata kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan bersama bahawa kontrak beliau ditamatkan lebih awal dengan bayaran penebusan kontrak.

Katanya, walaupun FAS menawarkan peranan baru kepada Mehmet Durakovic untuk membimbing bakat-bakat muda di Selangor, namun beliau memilih untuk berehat sementara bersama keluarga buat masa ini.

“FAS akan mencari masa yang sesuai bagi menyelaraskan semula penglibatan Mehmet Durakovic untuk pembangunan masa depan bolasepak Selangor.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan atas daya usaha dan bakti selama beliau berada di dalam pasukan ini,” katanya.

Selain itu, beberapa muka baru pembantu jurulatih dipilih bagi membantu Zainal.

  •  Penolong Jurulatih – K. Gunalan selaku
  • Jurulatih Penjaga Gol – Azlisham Ibrahim
  • Jurulatih Kecergasan – Norhudahiroshi Razak

FAS juga telah menandatangani secara rasmi Patrick Ronaldinho@ Wleh selama setahun sebagai pemain import ketiga

Patrick yang berusia 25 tahun musim depan adalah bekas pemain PKNS FC bagi musim 2013-2015 turut bersama Sime Darby FC pada tahun 2012.

FAS juga dalam proses penilaian akhir untuk mengikat pemain import keempat yang berasal dari Amerika Latin bagi posisi penyerang.

“Kemasukan Patrick diharap dapat memperkemaskan lagi serangan pasukan Selangor yang akan turut dibantu penyerang tempatan.

“Diharap dengan perkembangan terbaru ini, pasukan Selangor dapat kembali fokus untuk latihan pra-musim dan tentunya kami menagih sokongan padu berterusan dari seluruh rakyat Selangor dan pendokong sukan bolasepak serata tanahair,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.