Categories
NASIONAL

1MDB: Buka fail siasatan, beri kerjasama, jaga nama negara

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 JAN: Peguam Negara didesak untuk membuka semula fail siasatan bagi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Strategik KEADILAN, Sim Tze Tzin, berkata hal itu kerana skandal kontroversi terbabit tidak lagi dapat ditutup ekoran membabitkan banyak negara.

Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu menjawab secara jujur kerana membabitkan maruah dan nama baik Malaysia di persada Dunia.

sim-tze-tzim“Siasatan di Switzerland bukan siasatan yang baru. Mereka menjalankan siasatan sejak Ogos lalu dan mempunyai bukti yang kukuh sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Apa yang kita takut Malaysia tidak akan memberikan kerjasama seperti kes pada September lalu di mana Pegawai siasatan Malaysia membatalkan siasatan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Tze Tzin menasihatkan supaya Kerajaan Persekutuan berani berhadapan dan tidak lagi lari daripada sebarang siasatan berkaitan 1MDB.

“Apabila enam buah negara menyiasat perkara ini jadi sudah tentu Malaysia tidak lagi dapat lari.

“Isu ini adalah terburuk dalam sejarah Malaysia yang mana skandal ini dapat perhatian oleh seluruh dunia.

“Kalau hendak naikkan nama Malaysia, perlulah menjawab dengan jujur. Peguam Negara perlu membuka semula fail kes ini,” katanya.

1MDBSebelum ini, Ketua pendakwa Switzerland berkata satu siasatan ke atas firma milik kerajaan, 1MDB, didakwa mendedahkan bahawa kira-kira AS$4 bilion (RM16.6 bilion) diselewengkan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan Malaysia.

Pejabat Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber, berkata ia secara rasmi meminta Malaysia membantu siasatannya terhadap kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang negara itu yang berkaitan dengan dakwaan sogokan kepada pegawai asing, salah laku di pejabat awam, pengubahan wang haram dan dakwaan berlaku jenayah salah urus di firma itu.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.