Categories
NASIONAL

ABIM: Kembalikan biasiswa JPA, bantu pelajar ekoran kejatuhan ringgit

SHAH ALAM 23 JAN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat laporan pemberhentian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dilaporkan menerusi media massa.

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata pemberhentian biasiswa itu menjejaskan pelajar terbabit dan bakal mengakibatkan kerugian potensi dan sumber tenaga manusia golongan terpelajar untuk negara.

ABIM RAIMIKatanya, dalam keadaan ekonomi semakin gawat dan pelbagai skandal membabitkan kemuncupan nilai ringgit, pentadbiran kewangan serta integriti kepimpinan negara, seharusnya sektor pendidikan tidak dikorbankan bagi menampung pengurusan kewangan negara yang lemah.

“ABIM mendesak agar pemberian biasiswa dikembalikan serta merta sebagai tanda komitmen pemerintah terhadap keutamaan pendidikan sebagai teras pembinaan negara dan tamadun,” kata Raimi dalam kenyataan media.

Katanya, ABIM turut ingin menyatakan keprihatinan ke atas kebajikan pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di luar negara yang terjejas akibat kejatuhan nilai ringgit.

Bahkan ia juga turut meliputi pelajar yang tidak menerima sebarang bantuan pembiayaan biasiswa baik dari JPA mahupun MARA.

Pelajar Malaysia merentas benua Asia Barat seperti Jordan dan Mesir atau di benua Eropah seperti United Kingdom ternyata begitu terkesan dengan kesan tukaran wang asing dan kos sara hidup yang semakin menghimpit.

“ABIM menggesa kebajikan mereka hendaklah diberi perhatian sepenuhnya.

“Jangan gadaikan masa depan putera-puteri terbaik yang dihasilkan melalui sistem pendidikan negara dengan menafikan hak dan kebajikan mereka,” kata Raimi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.