Categories
NASIONAL

Anwar: Tangani keganasan perlu kerjasama kukuh semua

SHAH ALAM 15 JAN: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa simpati ke atas mangsa keganasan pengeboman ekoran tindakan keganasan yang berlaku di Jakarta dan Istanbul baru-baru ini.

Anwar berkata kerjasama semua pihak dituntut untuk berhadapan ancaman semasa dicetuskan kumpulan pengganas yang mempunyai rangkaian antarabangsa dan Asia Tenggara.

AnwarKatanya, Indonesia dan Malaysia berkongsi jalur sejarah yang sama, melewati zaman sebelum persempadanan wilayah serta pengamalan Islam secara aman dalam masyarakat plural.

“Saya menyanjung tinggi tindakan berani kepimpinan dan pasukan keselamatan serta menzahirkan kekaguman terhadap warga Jakarta yang mengajar dunia cara berdepan dengan keganasan,” kata Anwar dalam kenyataan media.

Katanya, serangan ke atas ibu negara umat Islam terbesar di dunia ini merupakan serangan terhadap Asia Tenggara.

“Mereka telah bersuara di media sosial dengan menyatakan keberanian, #tidaktakut serta menanggapi keganasan dengan penuh cemuhan.

“Kita berdepan dengan ancaman yang sama apabila anak muda kita diindoktrinasi dengan ideologi kebencian yang bertentangan dengan kecintaan kita kepada keamanan serta aspirasi demokrasi,” katanya.

Anwar berkata beliau yakin Indonesia bakal pulih dan bangkit dengan lebih kuat, lebih bersatu dan tekad untuk menjadi pelantar demokrasi dan keamanan yang mencerminkan legasi kerohanian yang dikongsi bersama.

“Marilah kita mendoakan mangsa yang terkorban akibat keganasan di Jakarta dan di seluruh dunia. Kita harus membuang ketakutan dan kebencian,” kata Anwar.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.