Categories
SELANGOR

Contohi universiti terkemuka dunia, UNISEL mahu jadi kampus hijau

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 JAN: Universiti Selangor (UNISEL) bakal diberi imej baru sebagai kampus hijau dengan memiliki ikoniknya tersendiri seperti mana universiti tersohor antarabangsa.

Naib Canselor UNISEL yang baru, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman yakin rancangan itu mampu direalisasikan dalam masa singkat memandangkan lokasi UNISEL Kampus Bestari Jaya terletak di kawasan luar bandar dan memiliki beberapa buah tasik indah.

NC unisel baru“Bila kita ke Kampus Bestari Jaya kita ada beberapa tasik yang cantik dan kalau kita pergi ke universiti tersohor dunia mereka memang membuat tasik yang bersifat ikonik.

“Bagi merealisasikan rancangan ini, saya berbincang dengan pengurusan kanan bagaimana kita boleh mendapat tajaan swasta. Jadi, kita akan uar-uarkan untuk swasta menaja pokok.

“Saya tertarik ketika  ke Beijing  dalam persiapan Sukan Olimpik, bandar raya Beijing masih merupakan kawasan padang pasir tetapi dalam masa tidak sampai dua tahun sahaja sudah menjadi bandar raya hijau. Pendekatan mereka adalah menanam pokok yang sudah besar,” kata Dr Mohamad Redzuan kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan balas Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad di UNISEL Kampus Shah Alam di sini.

Unisel-GrafikDr Mohamad Redzuan turut mengambil contoh beberapa universiti terkenal luar negara lain seperti di India dan Jepun dengan mewujudkan suasana hutan yang mengandungi binatang tidak merbahaya seperti kijang, angsa dan sebagainya dalam kawasan kampus mereka.

“Begitu juga ketika saya melawat sebuah universiti terkenal di Jakarta, mereka nak jadikan universiti itu ikonik, mereka ambil dua pohon pokok African Baobab yang sudah berusia lebih 100 tahun sejauh 120 kilometer daripada Jakarta yang ditanam orang Belanda dan ditanam di depan universiti.

“Saya taklah bercadang nak buat begitu tetapi apa  saya gambarkan kesungguhan universiti ini menjadikan kampus mereka sebagai ikonik,” kata Mohamad Redzuan lagi.

Jelasnya sehingga kini, kerja menanam sebahagian pokok sudah dimulakan apabila terdapat syarikat swasta bersetuju menaja pokok kepada UNISEL.

Katanya lagi, rancangan kampus hijau ini akan menjadikan UNISEL sebagai kampus menarik  didiami pelajar dengan menawarkan ketenangan dan kehijauan alam untuk menimba pengetahuan yang dikenang sepanjang hayat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.