Categories
NASIONAL

Fenomena El Nino kategori ‘kuat’ melanda, suhu meningkat hingga 2 darjah celsius

SHAH ALAM 11 JAN : Fenomena El Nino kini dikategorikan sebagai ‘kuat’ dan dijangka suhu negara meningkat antara 0.5 dan dua darjah celsius.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail, berkata kekerapan hujan negara dijangka berkurangan antara 20 hingga 60 peratus bermula bulan ini ekoran fenomena itu.

Beliau berkata impak El Nino yang kuat itu berterusan sehingga April dengan negeri di utara Semenanjung sudah mula menerima kesan fenomena itu.

el-nino-fotoImpak El Nino kuat itu turut dirasai semua negeri di Semenanjung, Sabah serta Bahagian Miri dan Limbang di Sarawak menjelang hujung bulan ini, katanya dipetik Bernama.

“Kalau kita lihat rekod, suhu maksimum negara semasa dilanda El Nino pernah mencecah 40.1 celsius pada 1998.

“Oleh itu pihak kami tidak menolak kemungkinan situasi yang sama bakal berulang,” katanya.

El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik.

Ia boleh menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia dan antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan, sementara di kawasan lain, berlaku kemarau berpanjangan.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kenyataan pada Disember 2015 menyatakan fenomena El Nino yang sedang melanda seluruh dunia, yang bermula sederhana dan setempat di Pasifik pada akhir 2015, kini meningkat meliputi sebahagian besar Asia dan Pasifik.

Fenomena itu juga mendatangkan kesan besar seperti di tengah dan selatan India, tengah dan timur laut Thailand, tengah dan selatan Filipina, utara Kemboja, timur Indonesia, Papua New Guinea dan kebanyakan negara kepulauan Pafisik.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.