Categories
SELANGOR

Isu balak: Jangan main sensasi, nanti rakyat marah

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 14 JAN: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sekali lagi menegaskan Kerajaan Selangor tidak pernah mengeluarkan lesen pembalakan membabitkan negeri itu.

Beliau berkata, Selangor terikat dengan dasar perhutanan negeri yang mewajibkan 30 peratus hutan simpan mesti dikekalkan.

MB Azmin“Saya sudah beri penjelasan tiada aktiviti pembalakan di Selangor, malah tiada lesen dikeluarkan.

“Media tidak lapor pun (fakta itu), kalau hendak ambil sikap bukan nak lapor yang betul tetapi hendak sensasi, itu bukan permainan saya.

“Permainan saya adalah menjaga amanah dengan telus dan tanggungjawab, jangan main sensasi nanti rakyat marah,” katanya di SUK hari ini.

Kenyataan Mohamed Azmin itu susulan dakwaan aktivis, Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) kononnya Kerajaan Selangor berbohong berkenaan tender pembalakan membabitkan dua bidang tanah.

Beliau mendakwa ia membabitkan projek jajaran talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Chubadak dan Mahkota Cheras di Kuala Lumpur.

Susulan itu, Mohamed Azmin mencabar Chegu Bard supaya mengemukakan bukti ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berkenaan.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.