Categories
NASIONAL

Najib patut mohon maaf umum selesai 1MDB tanpa guna dana rakyat

SHAH ALAM 14 JAN: KEADILAN mempertikaikan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) apabila masih belum memberikan penjelasan ke mana perginya dana berbaki dari terbitan sukuk RM2.4 bilion.

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata dana itu kononnya dipinjam untuk membiayai kerja pemindahan dan naik taraf pengkalan udara.

Katanya, 1MDB juga tidak menafikan kenyataan beliau bahawa berdasarkan angka dikeluarkan 1MDB, hanya RM800 juta daripada keseluruhan kos projek RM2.7 bilion dibayar 1MDB.

Jual 1MDB“Sebab itu baki tanggungan RM1.9 bilion untuk menyiapkan kerja itu kini mengundang kontroversi apabila ia melibatkan syarikat berkaitan Kerajaan China yang boleh mendedahkan negara kepada risiko keselamatan dan pertahanan.

“Saya yakin ada sesuatu disembunyikan 1MDB kerana angka yang diketahui umum tidak masuk akal,” kata Rafizi dalam kenyataan medianya.

Katanya, 1MDB sebenarnya diberikan geran kerajaan berjumlah RM1.0865 bilion bagi tujuan “pembinaan bangunan gantian dan perolehan peralatan susulan pembangunan semula Sungai Besi”.

Ini bermakna 1MDB menggunakan dana awam dalam bentuk geran Kerajaan Persekutuan untuk membiayai kos kerja pemindahan dan naik taraf pengkalan tentera udara yang sebenarnya tanggungjawab 1MDB.

Kata Rafizi, jumlah dana diperolehi 1MDB dalam bentuk terbitan sukuk adalahsebanyak RM2.4 bilion dan geran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.0865 bilion.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan dana diambil bagi tujuan ini mencecah RM3.4865 bilion adalah jauh melebihi kos keseluruhan projek diumumkan iaitu RM2.7 bilion.

“Malangnya, 1MDB sendiri mengakui hanya RM800 juta dibayar setakat ini dan RM1.9 bilion masih berbaki,” katanya.

Beliau berkata skandal pembiayaan kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan udara yang melibatkan 1MDB kini menjadi lebih rumit dan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri perlu menjelaskan perkara sewajarnya.

“Jumlah RM3.4865 bilion yang terbabit di dalam skandal ini melebihi jumlah RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Rafizi berkata Najib wajar meminta maaf kepada rakyat kerana mengumumkan masalah 1MDb diselesaikan tanpa melibatkan dana rakyat.

“Sedangkan Ketua Audit Negara sendiri mengesahkan RM1.0865 bilion dana rakyat isalurkan kepada 1MDB bagi menanggung kos yang sepatutnya dibayar 1MDB,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.