Categories
SELANGOR

Jelas bil air tertunggak atau bakal dipotong

SHAH ALAM, 29 JAN: Pengguna diingatkan supaya segera menjelaskan pembayaran bil tertunggak untuk mengelakkan bekalan air dipotong semasa Operasi Bil Air Tertunggak bermula 1 Februari 2016.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Pengurusan Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata operasi itu dilakukan di kawasan Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor dan Gombak.

syabass“Pelanggan yang gagal menjelaskan pembayaran bil air tertunggak akan diberi Notis Pemotongan Bekalan Air.

“Caj pemotongan sebanyak RM35 (tidak termasuk GST) dan caj penyambungan semula bekalan air sebanyak RM35 (tidak termasuk GST) akan dikenakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tindakan itu adalah berdasarkan peraturan diwartakan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (AIPA 2006) dan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Deposit, Fi dan Caj Perkhidmatan Air) 2014.

“Bil air tertunggak boleh dibayar di semua pejabat SYABAS, bank, agensi terlantik dan melalui kemudahan lain,” katanya.

Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan tempat dan kemudahan membayar bil air, pengguna boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my.

Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi telefon pintar mySYABAS secara percuma daripada Google Playstore and Apple Appstore untuk mendapatkan maklumat berkenaan Operasi Bil Air Tertunggak dan perkhidmatan disediakan SYABAS.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.