Categories
SELANGOR

KEADILAN tolak ansur, lepas 19 kerusi Ahli Majlis

SHAH ALAM, 7 JAN: Kuota pembahagian kerusi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor diselesaikan melalui sikap tolak ansur KEADILAN.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei, berkata kuota KEADILAN menyusut daripada 120 kerusi kepada 101 untuk penggal baharu bermula 15 Januari 2016 hingga 31 Disember 2017.

Katanya, tindakan itu bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan lancar yang menjadi keutamaan semua.

“Kita bukan mengalah tetapi bersetuju bertolak ansur demi kestabilan pentadbiran Kerajaan Selangor.

shuhaimi isu lompat parti“Pastinya dalam proses perbincangan ini ada yang setuju dan sebaliknya, tetapi akhirnya kita dapat keputusan di mana PAS, DAP dan KEADILAN mestilah meletakkan kepentingan Kerajaan Negeri di tempat utama,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Shuhaimi berkata, PAS kekal dengan jumlah kerusi sedia ada dan bertambah tiga, manakala PKR pula bertindak melepaskan 19 kerusi kepada DAP, PAS dan juga Parti Amanah Negara (AMANAH).

Katanya, penambahan itu susulan formula sebelumnya di mana PAS sepatutnya mendapat satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Ahli Majlis, ketua kampung dan jawatan lain setelah dikurangkan satu kerusi Exco.

“Proses untuk mendapatkan sesuatu akan membingitkan, namun ia harus dihadapi kerana kita sentiasa mempunyai ruang untuk meluahkan perasaan tidak puas hati dan menerima kelebihan serta kekurangan,” katanya yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Selangor.

Mengulas keadaan parti itu terpaksa mengorbankan 19 kerusi milik mereka, Shuhaimi berkata, ia adalah jalan terbaik untuk menamatkan konflik berkenaan.

“DAP juga berikan beberapa kerusi, jika ikutkan mereka pun dapat satu per tiga daripada perjanjian terdahulu, namun mereka juga sedia tolak ansur,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.