Categories
NASIONAL

Krisis minyak jejas ekonomi sudah ‘dibaca’ Anwar sejak 2009

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 2009 lagi sudah memberi amaran kepada kerajaan supaya mengambil kira faktor kestabilan pasaran harga minyak dan indikator ekonomi antarabangsa dalam merangka belanjawan tahunan negara.

Manakala pada 2011, Anwar turut menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya mengkaji semula belanjawan tahunan yang dibentangkan apabila unjuran pertumbuhan ekonomi dunia ketika itu kurang memberangsangkan dan harga pasaran minyak antarabangsa dalam keadaan tidak menentu.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata saranan Anwar itu tidak diambil peduli Najib sehinggalah baru-baru ini Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) akhirnya terpaksa mengambil langkah merombak belanjawan seperti mana yang pernah disarankan Anwar.

Nurul-Izzah“Sejak 2009 Anwar desak kerajaan supaya ambil kira faktor harga minyak dan indikator ekonomi terkini sebelum membentangkan belanjawan tetapi tidak diketepikan Perdana Menteri.

“Sekarang Perdana Menteri terpaksa merombak belanjawan tetapi malangnya ketika rombakan dibuat, beliau tidak mempunyai keberanian mendepani Ahli Parlimen di Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, Nurul Izzah turut mengulas isu sama pada program Pelepasan Jelajah Konvoi #BebasAnwar di kediaman Anwar di Bukit Segambut hari ini.

Katanya kepada media, Najib sepatutnya membentangkan rombakan belanjawan di Dewan Rakyat supaya isu ini dapat dibincangkan secara telus oleh Ahli Parlimen dan sekaligus membolehkan rakyat mendapat maklumat yang tepat berhubung rombakan ini.

Ujarnya, kegagalan membentangkan rombakan belanjawan di Dewan Rakyat menyebabkan Najib dilihat cuba menyembunyikan langkah memotong peruntukan terhadap sektor yang memberi manfaat besar kepada rakyat.

Antaranya langkah menggantung Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang lazimnya bagi membiayai pelajar cemerlang tetapi kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.