Categories
AGENDA NASIONAL

PKR adakan mesyuarat Rabu ini bincang tiga isu – Anwar

SHAH ALAM, 18 OGOS: Biro Politik PKR akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi membincangkan tiga isu iaitu berkaitan Dr Zakir Naik, tulisan Jawi dan Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan itu akan dibuat bagi menyatakan pendirian PKR terhadap isu yang dilihat menjadi kontroversi baru-baru ini.

“Saya ada pandangan saya sendiri, tetapi saya merasakan saya perlu mendengar pandangan pemimpin Keadilan yang lain kerana saya baru balik dari menunaikan ibadah Haji (di Makkah), jadi saya tidak mengikuti (isu itu) semuanya.

“… dan saya merasakan pimpinan ada hujah mereka masing-masing kerana mereka mengikuti isu itu lebih dekat (kerana berada di Malaysia),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Motivator Profesional Malaysia.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) berkata pihaknya akan memutuskan pendirian sama ada PKR menerima tiga isu tersebut atau sebaliknya selepas mendengar pandangan daripada barisan kepimpinan parti itu.

Tiga isu itu menjadi perdebatan rakyat selain beberapa pemimpin PH, berikutan isu tersebut didakwa menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

Anwar ditanya juga sama ada akan mengadakan pertemuan dengan penceramah bebas Zakir Naik, beliau berkata perkara itu tidak perlu.

“Saya akan membaca penjelasan beliau (Zakir Naik) selain merujuk perkara itu kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum mesyuarat Rabu ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Anwar optimis bangun PD dalam pelbagai sektor

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 28 SEPT: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan calon Pakatan Harapan bagi Parlimen P132 Port Dickson berjanji akan membantu membangunkan kawasan berkenaan dalam pelbagai sektor.

Katanya, beliau mengambil pendekatan berbeza dan tidak hanya menjanjikan bulan bintang.

“Saya mahu perumahan rakyat kepada penduduk Port Dickson, kedai dan gerai untuk peniaga disiapkan.

“Saya juga mahu pantai-pantai kembali dibersihkan. Jika Singapura dulu paling kotor tetapi tidak sampai 10 tahun, kini menjadi sangat bersih.

“Saya juga akan bawa pelabur-pelabur ke kawasan ini. Kita mesti pacu pembangunan, saya tawar diri menjadi Ahli Parlimen, Perdana Menteri itu cerita lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Bilik Gerakan Utama dan Pelancaran Jentera Pakatan Harapan, di PD Waterfront, di sini.

Anwar yang merupakan Bekas Menteri Pendidikan juga akan melancarkan program pendidikan khas yang istimewa tidak lama lagi.

Katanya, program istimewa berkenaan tidak pernah lagi dilaksanakan sebelum ini.

“Program ini boleh diambil contoh oleh negeri-negeri lain. Ia untuk pendidikan anak-anak dari darjah 1 hingga tingkatan 5,” katanya.

Categories
NASIONAL

Anwar menghadap Agong perinci pembentukan kerajaan baharu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUN: Pertemuan antara Yang DiPertua Agong, Sultan Muhammad V dan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini adalah bagi memperincikan pembentukan kerajaan baharu.

Anwar berkata, pihaknya turut memberi maklum bahawa kerajaan komited mempertahankan perlembagaan termasuklah pemerintahan monarki.

“Saya bertemu dengan hampir semua institusi diraja di negara ini, pastinya keprihatinan raja-raja perlu dihargai oleh semua rakyat Malaysia.

“Ini kerana mereka berada di kedudukan yang berkecuali dan tidak mampu untuk respons terhadap sebarang kebimbangan rakyat.

“Sudah tentu mereka menyambut dengan baik dan berbesar hati kerana kami komited untuk mempertahankan perlembagaan dan termasuk sistem monarki itu,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian.

Turut ditanya adalah berkenaan kedudukan Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan baharu mempunyai peranan dalam menjamin institusi itu.

Katanya, ia termasuk merombak semula badan berkenaan bagi memastikan ia lebih berkesan di samping mengelakkan berlaku tanggapan yang salah.

“Ini adalah kerana Baginda melihat perkembangan menerusi media sosial dari masa ke semasa bahawa terdapat tindakan yang dilihat bertentangan dengan Islam malah ada di antara membuat permintaan yang melebih,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, Yang Di Pertuan Agong juga menerima pemecatan Tan Sri Apandi Ali dan melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara baharu.

Bagaimanapun, katanya, baginda mahu ia mengukuhkan dan mempertahankan kedudukan mengikut perlembagaan termasuk hak istimewa Melayu serta hak Bumiputera di samping mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

“Saya menjawab, Tuanku mempunyai hak untuk mengeluarkan kenyataan itu,” katanya.

Categories
NASIONAL

Anwar dedah, kenapa berbaik dengan Tun M

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan alasan sebenar, hubungan baiknya dengan bekas seteru politiknya, Tun Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sentimen rakyat dan pembentukan Malaysia yang lebih sejahtera menjadi asas terpenting baginya untuk menepis episod gelap, kedua-dua pemimpin berpengaruh itu.

Bagi Anwar, pengalaman masa lalu itu perlu diketepikan dengan membuka lembaran positif ke arah merealisasikan pembentukan Malaysia baru.

“Orang mahu berbaik, kenapa perlu kita tolak? Kita lihat niat dan komitmen beliau, sudah berbulan-bulan belia bersetuju dengan pelbagai dasar kita.

“Tengok sahaja, selepas beliau jadi Perdana Menteri. Beliau kotakan janji-janji dan itu sudah mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ratusan penyokong-penyokongnya pada Majlis Iftar, di kediamannya di Bukit Segambut, malam tadi.

Terdahulu, umum maklum persengketaan Anwar dan Tun Mahathir susulan pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, dalam kabinet Tun Mahathir, pada 1998.

Persengketaan itu akhirnya membentuk kepada lahirnya parti politik reformasi, Parti KeADILan Nasional yang ditunjangi Presiden Parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Susulan itu, Tun Mahathir disifatkan sebagai musuh tradisi parti itu.

Bagaimanapun, persengketaan itu dilenyapkan apabila Tun Mahathir secara terbuka hadir menyokong Anwar pada prosiding perbicaraan kes di Mahkamah, tahun lalu.

Sokongan itu sekali gus menjadi permulaan perkembangan positif perubahan senario politik negara melalui pembentukan gabungan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Categories
NASIONAL

Anwar: Tak perlu jawatan, saya ada elaun lain…

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memerlukan sebarang jawatan dan kedudukan sebagai menteri kabinet dalam tempoh terdekat ini.

Beliau secara berseloroh berkata, tanpa gaji dan pendapatan sebagai menteri kabinet pun, sudah mampu menampung kelangsungan perjalanan politik dan kehidupan beliau.

Justeru kata Anwar, masa bersama keluarga dan sokongan di belakang kepimpinan Tun Mahathir Mohamad adalah jalan paling terbaik baginya, kini.

“Saya tak perlu berada dalam kabinet. Cukuplah Wan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah).

“Tak perlu semua itu. Saya (ada) elaun, ada banyak kes saman saya menang.

“Kes Papa Gomo sudah ada RM1 juta, TV3 juga RM1 juta, dan minta maaf cakap, Utusan (Melayu) pun ada RM250,000 tak silap saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ratusan penyokongnya pada Majlis Iftar, di kediamannya di Bukit Segambut, malam tadi.

Anwar sebelum ini dilapor sebagai individu terbaik yang mampu menggantikan tampuk kepimpinan negara, selepas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Walaupun begitu, Anwar sebelum ini menegaskan beliau akan berehat dalam tempoh tertentu bagi memberi ruang kepada pentadbiran Putrajaya ketika ini.

Untuk rekod, Anwar pernah berada dalam kabinet Malaysia, sebagai Timbalan Perdana Menteri di era pentadbiran Tun Mahathir, pada 1998.

Categories
NASIONAL

Anwar sokong Tun M sebagai PM

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 17 MEI: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi mengetuai pentadbiran negara.

Beliau berkata, kepimpinan Dr Mahathir perlu disokong sepenuhnya seperti mana dinyatakan rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya menyatakan sokongan padu kepada Dr Mahathir untuk menerajui negara walaupun saya tiada apa-apa (kerana tidak bertanding dalam PRU dan baharu dibebaskan).

“Saya ingin memberi peringatan kepada yang lain supaya tidak mengejar jawatan sebagai menteri sebaliknya harus mengukur keupayaan diri bagi menjalankan tanggungjawab,” katanya dalam Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur, Amcorp Mall, malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya dilantik memegang jawatan maka tanggungjawab harus dilaksanakan penuh amanah demi menjaga kepentingan rakyat.

“Dr Mahathir dengan dibantu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan yang lain akan mampu menjadikan negara lebih berjaya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pujian Bank Dunia & IMF tak bermakna jika rakyat sengsara – Anwar

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 17 MEI: Pujian Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak memberi apa-apa makna sekiranya rakyat masih tertekan dengan kos sara hidup.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal ini kerana keluhan rakyat terbanyak mencerminkan realiti kehidupan sebenar mereka.

“Saya tak peduli Bank Dunia kata apa, saya tak peduli IMF kata apa atau laporan perniagaan antarabangsa kata apa tapi saya peduli kalau rakyat tidak dipedulikan,” katanya di hadapan kira-kira 5,000 yang membanjiri Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur, malam tadi.

Beliau berkata, pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini begitu berbangga apabila Bank Dunia dan IMF mengeluarkan laporan positif mengenai ekonomi dan kewangan negara.

Anwar berkata, sedangkan BN sendiri mengutuk beliau apabila IMF dan Bank Dunia memuji beliau ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berkenan beri pengampunan penuh kepada Anwar

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUAL LUMPUR, 11 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenab memberi pengampunan penuh kepada Ketua Umum KEADILAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau dimaklumkan perkara itu ketika pertemuan dengan Sultan Muhammad V pada istiadat mengangkat sumpah Perdana Menteri, di Istana Negara, semalam.

“Dengan pengampunan penuh ini, Datuk Seri Anwar boleh terbabit serta-merta, dalam politik,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan akan meneruskan proses itu mengikut prosedur yang diperlukan.

Anwar dipenjarakan pada Februari 2015 apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan kes fitnah 2 membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mengikut jadual, Anwar yang dipenjarakan di penjara Sungai Buloh akan dibebaskan, pada 8 Jun ini.

Categories
NASIONAL

Anwar gesa Najib dan Kerajaan tidak bantah permohonan perkenan diraja

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JAN: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kerajaan Persekutuan tidak membantah permohonannya mengembalikan keperluan mandatori mendapatkan perkenan Yang Di-Pertuan Agong untuk membolehkan sesebuah rang undang-undang menjadi akta.

Beliau membuat permohonan itu di Mahkamah Persekutuan pada 2 Januari lalu menggesa pendengaran dapat diadakan secepat mungkin memandangkan kes itu bersifat kepentingan awam.

Katanya, Raja-Raja Melayu memainkan peranan penting dalam memastikan pihak eksekutif tidak menyalahguna demokrasi dan kerangka Perlembagaan Negara.

“Saya telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan dengan tujuan mengembalikan keperluan mandatori pengembalian keperluan mandatori perkenan diraja ini adalah untuk menjamin keseimbangan perlembagaan di antara pihak kerajaan yang dipilih dan institusi Raja-Raja Melayu yang kita warisi turun-temurun.

“Ia juga akan memelihara dan mempertahan peranan dan kedudukan Raja-Raja Melayu dan integriti institusi raja berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan.

Pada Jun tahun lalu, Majlis Raja-Raja menyatakan kebimbangan terhadap rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara yang memberi kuasa darurat kepada Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan dipimpin Barisan Nasional memilih untuk tidak mengendahkan kebimbangan Majlis Raja-Raja ini dan terus mewartakan Rang Undang-Undang (RUU) tersebut tanpa perkenan diraja.

“Insiden seperti ini belum pernah terjadi dan menjadi bukti betapa perlunya perkenan diraja dijadikan keperluan mandatori semula sebelum sesebuah rang undang-undang itu menjadi akta. Kerajaan BN seringkali berkata ia komited mempertahan kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Categories
NASIONAL

DSAI jalani fisioterapi, keadaan semakin pulih

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 DIS: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjalani rawatan fisioterapi selepas pembedahan bahu kanan dan keadannya dilaporkan semakin baik.

Presiden KEADILAN yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau berharap pasukan perubatan memberikan tambahan tempoh pemulihan sebelum pihak penjara membawa Anwar pulang.

“Alhamdulillah beliau masih lagi dalam proses pemulihan selepas pembedahan Hospital Rehablitasi Cheras. Kita lihat perkembangan ada tapi sedikit perlahan.

“Beliau masih belum boleh angkat tangan sepenuhnya sekitar lima darjah. Walaupun pihak penjara nak hantar semula dan dijangka esok atau lusa doktor akan semak kewajaran untuk hantar semula atau tidak,” katanya kepada Selangor Kini.

Anwar sebelum ini menjalani pembedahan ‘arthroscopic’ bagi melegakan kesakitan susulan kemalangan yang dialami konvoi pegawai penjara, pada 22 September lalu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Anwar puji kecekapan Selangor urus ekonomi

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 8 NOV: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji pencapaian Kerajaan Selangor mengurus ekonomi yang dilihatnya sangat cekap dalam menjana pertumbuhan ekonomi, mengawal perbelanjaan dan mencegah rasuah juga ketirisan dalam pentadbiran.

Anwar berkata, pencapaian itu membolehkan pentadbiran Kerajaan Negeri yang diterajui Dato’Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Belanjawan Selangor 2018 yang lebih bersifat komprehensif kepada rakyatnya.

“Dengan kejayaan Selangor di bawah pimpinan Mohamed Azmin, ikhtiar membantu rakyat dipertingkat dan bonus penjawat awam memecah rekod bonus dalam negara.

“Saya yakin contoh dan modal ini akan memperkuat semangat rakyat berjuang menjayakan perubahan dalam Negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 3 November lalu, Mohamed Azmin membentangkan Belanjawan Selangor 2018 dengan tema ‘Membangun Bangsa, Memakmur Negeri’ berjumlah RM3.12 bilion dengan pecahan RM1.66 bilion atau 53.2 peratus diperuntukkan bagi belanja pembangunan, manakala RM1.46 bilion (46.8 peratus) bagi pengurusan.

 

Categories
NASIONAL

PAKATAN desak KDN siasatan punca kemalangan konvoi Anwar

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Pakatan Harapan mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan siasatan berhubung kemalangan melibatkan konvoi penjara ketika membawa Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 22 September lalu.

Ketua Whip KEADILAN, Datuk Johari Abdul berkata, kesan kemalangan itu memburukkan lagi kecederaan ‘rotator cuff tear’ di bahu kanan Anwar yang sudah berlarutan lebih sebulan hingga mengakibatkan kesakitan berterusan walaupun beliau tidak kecederaan ketara ketika itu.

“Kesakitan ini mengakibatkan Anwar tidak boleh menulis seperti biasa. Malahan sebarang gerakkan bahu kanan menyebabkan kesakitan yang amat teruk.

“Beliau tidak boleh mengangkat sebarang objek dengan menggunakan tangan kanan,” katanya.

Pada sidang media di Pusat Media Parlimen, beliau turut mempersoalkan tindakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Jeyaindran yang sering menangguhkan rawatan terhadap Anwar.

Lebih mengejutkan, Anwar hanya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas tiga hari kejadian kemalangan yang mengakibatkan kerosakkan pada belakang kenderaan dinaiki beliau dan pegawai keselamatan.

Johari berkata, Anwar kini terpaksa mempertimbangkan semula pilihan untuk menjalani pembedahan akibat kesakitan teruk walaupun menolaknya sebelum ini.

Menurutnya, kesan kesakitan daripada kemalangan itu menyaksikan Anwar hanya diberikan ubat tahan sakit dengan dos tambahan daripada biasa kerana rasa sakit yang berterusan.

“Mengapa permintaan ahli-ahli keluarga dan peguam-peguam Anwar supaya beliau diberikan fisioterapi tembahan secara kerap dan rawatan intensif untuk meringankan kesakitannya diendahkan Kerajaan Persekutuan?

“Ini adalah kali pertama suatu konvoi yang membawa Anwar terlibat dalam kemalangan.

“Walaupun banyak perjalanan keluar masuk dari penjara dilakukan termasuk ketika beliau dipenjarakan kali pertama selama enam tahun, sehingga kini tiada sebarang kemalangan seumpanya berlaku,” katanya.