Categories
SELANGOR

Kubah baru Masjid Negeri Shah Alam siap 5 Disember

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JAN: Kerja penggantian kubah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau Masjid Negeri di Shah Alam dijangka siap pada 5 Disember tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Mas Abdul Rahman Mas Mohamed, berkata kubah baru itu menggunakan sistem punca air yang juga sistem pertama di dunia.

Katanya, terdapat 77 bilangan punca air pada permukaan kubah untuk kegunaan penyelenggaraan dengan kos RM32.4 juta.

IMG_20160129_112944“Kerja menaik taraf simbol keagungan masyarakat Islam di negeri itu akan bermula Mei ini dan bermula dengan mencuci ‘Buttress’ sedia ada, kallas, menurunkan panel kubah, panel bahu dan panel kubah khat sedia ada.

“Kubah baru itu juga ditambah baik dengan menyediakan punca air memudahkan kubah dicuci dan mempunyai tangga untuk naik ke kubah,” katanya ketika merasmikan pemasangan panel kubah baru di Masjid Negeri, di sini.

Beliau berkata, pihak JKR memilih bahan vitrous enamel yang lebih kemas, ringan dan selamat serta lasak daripada bahan asal untuk kubah terbabit.

Abdul Rahman berkata, kubah berkeluasan 5,184.72 meter persegi itu ditempah khas dari Jerman.

Kubah masjid sebelum ini sebahagiannya menunjukkan kecacatan seperti karat yang mungkin disebabkan oleh penggunaan cecair kimia semasa penyelenggaraan.

Kubah baru mempunyai 180 jenis panel berbeza membabitkan 13,504 bilangan panel berdiameter 52 meter dengan ketinggian 50 meter.

Manakala bahu kubah 3,233.88 meter persegi dengan 4,636 bilangan panel, 19 lapisan panel dan 1,142 jenis panel yang berbeza.

Selain itu, kallas berketinggian 7 meter dan kaligrafi khat mempunyai luas permukaan 1,213.44 meter persegi dengan 640 bilangan panel kaligrafi, tiga jenis panel berbeza dan lima lapisan panel dengan jumlah setinggi 7.5 meter serta Surah At Taubah ayat 18-19.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.