Categories
SELANGOR

LZS: Rujuk pusat zakat elak fitnah

OLEH : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 JAN : Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada pusat zakat berhampiran bagi mendapatkan maklumat tepat berkenaan pengurusan zakat di negeri ini.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam posting di Facebook berkata, langkah itu bagi mengelakkan kekeliruan yang mungkin merumitkan keadaan jika dirujuk kepada pihak salah.

LZS ZAKATLZS turut menasihatkan masyarakat supaya menghubungi pusat zakat jika berlaku perkara mencurigakan termasuk laporan berkenaan asnaf.

“Jika anda terjumpa orang miskin, jangan terus sebar di media sosial, tetapi hubungi dahulu pusat zakat kerana boleh jadi mereka sudah menerima bantuan namun atas sebab tertentu meninggalkan rumah dan menjadi gelandangan.

“Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan fitnah sesama sendiri,” katanya.

Pada masa sama, LZS berkata, kecanggihan teknologi masa kini membolehkan informasi berkenaan agihan atau pengaliran wang zakat diperolehi secara mudah.

Katanya, LZS membangunkan pelbagai medium atau akses antaranya laman sesawang, blog, laman sosial Facebook dan Twitter serta kaunter perkhidmatan.

“Zaman sudah canggih, maka ketelusan menjadi penting.LZS sentiasa memaparkan informasi termasuk di surat khabar, radio, televisyen, internet 24 jam dan papan iklan berkenaan agihan zakat.

“Malah pegawai LZS juga turun ke ceruk desa dan kota bercerita berkenaan agihan zakat. Pendek kata, tidak patut lagi ada orang berkata LZS atau pusat zakat tidak buat kerja menyalurkan maklumat zakat,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.