Categories
SELANGOR

MPSJ roboh kilang haram

PUCHONG, 15 JAN: Sebuah kilang yang dijadikan stor mesin dan jentera berat di Kampung Seri Aman, di sini dirobohkan ekoran beroperasi tanpa kebenaran sah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Pegawai Komunikasi Korporat Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, tindakan itu terpaksa mengambil pagi semalam, selepas beberapa kali ‘berlembut’ dengan pemilik kilang.

Katanya, kilang yang dibangunkan hampir lima tahun itu pernah dikenakan notis amaran dua kali, didakwa di mahkamah, malah pernah dikenakan denda RM20,000.

AZLI MISWAN MPSJ“Pemilik didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perancangan dan Desa kerana membina struktur tanpa kebenaran di atas zon bina tanah kediaman yang jelas bercanggah dengan zon guna tanah rancangan tempatan.

“MPSJ sudah beri tempoh sejak 2014, kewujudan kilang banyak timbulkan kesan buruk dan didakwa menyebabkan pencemaran, kerosakan infrastruktur serta gangguan kepada penduduk,” katanya dipetik Sinar Harian.

Sebelum tindakan perobohan semalam, MPSJ terpaksa mengalihkan puluhan jentera yang disimpan dalam stor.

Operasi bersepadu itu disertai kira-kira 120 anggota polis, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Syabas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

ROBOH KILANGSebelum ini, pada 29 April 2014, MPSJ mengadakan lawatan tapak di bangunan kilang tanpa kebenaran terbabit, sebelum mengeluarkan Borang D meminta pemilik memulihkan semula tanah kepada keadaan asal.

Beberapa kali penangguhan diberi oleh MPJS berikutan pemilik kilang mengemukakan permohonan kebenaran merancang, namun ia ditolak setelah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa OSC pada 2 Oktober 2014.

Muhammad Azli berkata, pihaknya kemudian memfailkan kes ke mahkamah setelah mendapati premis beroperasi seperti biasa meskipun notis dikeluarkan kepada pemilik.

“Mahkamah memutuskan pemilik dikenakan denda RM20,000 mengikut Seksyen 27(2)(A) Akta Perancangan dan Desa 1976.

“Setelah dikenakan tindakan, pemilik didapati masih menjalankan operasi seperti biasa menyebabkan tindakan perobohan diambil,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.