Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Pastikan satu lawan satu hadapi BN

SHAH ALAM 19 JAN: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mengingatkan barisan pembangkang bahawa rakyat negara ini mahukan parti pembangkang yang bersatu untuk menentang BN.

Menurutnya, prinsip satu lawan satu yang diamalkan pembangkang sejak dulu perlu diteruskan untuk pilihan raya-pilihan raya akan datang.

“Seperti biasa, kita sebagai sebuah parti…KEADILAN yang menyedari bahawa hanya satu sahaja cara untuk melawan BN. Iaitu dengan perlawanan satu lawan satu.

Nurul Izzah“Jadi, kita teruskan dengan prinsip itu. Saya harap semua pihak mengambil hemat dan teruskan usaha kita kerana rakyat mahukan pembangkang yang bersatu,” katanya dipetik Sinar Online.

Katanya, pertemuan antara pimpinan PKR dengan PAS berlaku secara informal dari semasa ke semasa.

Sementara ketika diminta mengulas soal pengaruh BN di kawasan luar bandar di Sarawak, Nurul Izzah yang juga Pengarah Pilihan raya KEADILAN mengakui Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem merupakan faktor utama prestasi BN baik di negeri tersebut.

“Secara umum kita ketahui dari segi populariti Tan Sri Adenan menikmati ‘badawi effect’ kerana penggantian beliau selepas Taib Mahmud (bekas Ketua Menteri Sarawak) mencatatkan 76 peratus populariti.

“Itu tidak bermaksud kita alpa, gusar dan tidak meletakkan harapan tinggi. Kita teruskan usaha kita mencari melalui sumbangan dan sebagainya tapi kita juga pragmatis dengan mengetahui bahawa Tan Sri Adenan merupakan faktor utama prestasi BN yang lebih baik di Sarawak,” katanya.

Katanya, KEADILAN akan bekerja keras di Sarawak dan menawarkan calon terbaik bagi melahirkan suara rakyatnya dalam pilihan raya negeri itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.