Categories
SELANGOR

PBT diarah agresif pastikan ‘hotspot’ denggi dimusnah

OLEH : NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 17 JAN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta supaya bergerak agresif dalam memastikan kawasan ‘hotspot’ denggi dihapuskan secara berterusan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata hal itu kerana fenomena El Nino yang dijangka melanda negara menyebabkan kes denggi meningkat.

Katanya, cuaca panas, kering dan suhu tinggi yang berpanjangan membolehkan kitaran hidup nyamuk aedes semakin singkat sekaligus meningkatkan populasi nyamuk terbabit.

DENGGI GRAFIK“Semua PBT sudah kita gerakkan. Kita mahu mereka memastikan kawasan ‘hotspot’ antaranya tempat pengumpulan sampah haram, tapak binaan, kedai barangan lusuh dan kereta lama yang tersadai dipantau.

“Pemaju juga dikehendaki membuat semburan kabus di tapak binaan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Daroyah turut menasihatkan penduduk supaya memastikan kawasan tempat tinggal mereka dalam keadaan bersih.

“Penduduk perlu menjaga kebersihan kawasan rumah masing-masing. Wujudkan sikap gotong-royong bagi menjaga kawasan rumah dan sekitar,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata fenomena itu boleh mengakibatkan peningkatan 50 peratus kes denggi.

“Selain itu, suhu panas menyebabkan nyamuk lebih aktif dan frekuensi menggigit mangsa adalah tinggi selain penyebaran virus lebih meluas.

“Situasi akibat fenomena El Nino memberi kesan tabiat vektor dan masyarakat, dan pada tahun ini, ia dijangka berupaya menyebabkan peningkat kes denggi sehingga 50 peratus,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.