Categories
NASIONAL

PM digesa arah 1MDB bayar RM1.1 bilion, cukup untuk biasiswa JPA

SHAH ALAM 21 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak digesa mengarahkan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) untuk membayar kembali geran Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.1 bilion.

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata dana itu diambil oleh 1MDB bagi kerja pemindahan dan naik taraf pengkalan tentera bersabit Bandar Malaysia.

Katanya jumlah RM1.1 bilion itu lebih dari cukup untuk membiayai biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dibekukan Kerajaan Persekutuan.

logo_jpa“Rakyat hanya tahu pemberhentian biasiswa pendidikan JPA bagi 700 pelajar untuk ijazah pertama dari petikan berita disiarkan akhbar berbahasa Cina.

“Maknanya, Najib Razak tidak berani berdepan rakyat untuk menerangkan sendiri keputusan beliau menekan rakyat seperti itu,” kata Rafizi dalam kenyataan media.

Katanya, masalah kerajaan memotong peruntukan biasiswa dan peruntukan pendidikan ini bukan perkara baru.

“Hakikatnya, sebelum pun isu pemotongan biasiswa JPA ini timbul, beribu-ribu pelajar yang cuba mendapatkan biasiswa atau pinjaman dari MARA ditolak.

“Sehingga kini, difahamkan MARA masih belum membuka sistem permohonan penajaan pendidikannya,” katanya.

Rafizi berkata beliau dimaklumkan MARA terpaksa menjadi orang tengah kepada bank yang menawarkan pinjaman kepada pelajar pada kadar komersil.

Dalam Bajet 2016, Najib Razak memotong peruntukan biasiswa dan dermasiswa sekitar RM800 juta, sementara peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dipotong dari RM200 juta menjadi RM10 juta sahaja.

“Kegilaan itu kini diteruskan dengan pemberhentian penajaan pelajar JPA seramai 700 yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.