Categories
SELANGOR

Projek Jalan Reko dijangka siap penghujung 2016

Oleh: AFIX REDZUAN

BANGI, 4 JAN: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan lawatan kerja di Bangi bagi melihat perkembangan projek menaiktaraf laluan B17 Jalan Bangi/Jalan Reko berhadapan pintu masuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Beliau tiba sekitar jam 8.40 pagi dengan memandu sendiri kenderaan Jabatan Kerja Raya (JKR) sambil ditemani Pengarah JKR Selangor, Datuk Ir Hamizan Mohd Inzan.

Mohamed Azmin diberikan taklimat hampir 10 minit berkenaan perkembangan semasa fasa pertama projek sepanjang 5.75 kilometer yang disampaikan sendiri Ir Hamizan.

Azmin AliSetakat ini, projek sudah berjalan 66 peratus, namun lewat 12 hari yang sepatutnya siap 70 peratus mengikut jadual disebabkan proses pengambilalihan tanah.

Beliau berkata, projek itu dijangka siap penghujung tahun ini disebabkan kelewatan proses pengambilan tanah membabitkan lapan lot milik UKM dan satu milikan individu.

“Saya berterima kasih kepada UKM kerana membenarkan kerja dimulakan di atas tanah mereka walaupun proses pengambilam tanah masih berjalan untuk pembinaan jalan empat lorong ini.

“Projek ini penting dan memberikan manfaat juga kepada UKM selain keselesaan kepada pengguna di Bangi dan Kajang.

“Saya meminta Pegawai Daerah Hulu Langat menyegerakan pemberian borang H supaya proses pengambilalihan dan bayaran pampasan boleh dibuat dalam tempoh dua minggu daripada sekarang,” katanya.

jalan rekoProjek yang menelan kos hampir RM49.66 juta sepatutnya dijadualkan siap, pada 28 Julai ini.

Mohamed Azmin berkata, kos pengambilan tanah menelan belanja RM55 juta, manakala RM38 juta bagi kos pengalihan utiliti, bahkan beliau sendiri akan memantau perkembangan projek selain mengharapkan tempoh penyiapan jalan dapat dipendekkan.

Selain itu, projek itu juga berhadapan masalah pembinaan struktur kekal di atas tanah rizab jalan, namun notis pengalihan sudah diberikan kepada pemilik.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.