Categories
NASIONAL

Rizab Tabung Haji negatif sejak tahun berakhir 31 Disember 2014

SHAH ALAM 27 JAN: Penyata Kewangan Tabung Haji bagi tahun kewangan 31 Disember 2014 yang diaudit menunjukkan rizab terkumpul Tabung Haji adalah negatif iaitu kerugian terkumpul sebanyak RM351 juta.

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata jika semua pendeposit Tabung Haji mahu mengambil kembali simpanan sebanyak RM54.358 bilion, semua aset Tabung Haji tidak cukup untuk membayar simpanan itu dan kekurangan dana sebanyak RM351 juta.

Rafizi Tabung HajiKatanya, kedudukan kewangan itu berlaku sebelum 2015 yang menyaksikan kejatuhan pasaran saham dan nilai matawang ringgit mendadak.

“Ini bermakna bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, Tabung Haji akan mengalami kerugian jauh lebih besar.

“Maka nilai rizab terkumpulnya menunjukkan kerugian terkumpul jauh lebih besar dari RM351 juta,” kata Rafizi dalam kenyataan media.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Tan Sri Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Urusan Tabung Haji berhubung isu kelemahan dana rizab Tabung Haji yang ditimbulkan Bank Negara Malaysia.

Katanya sebagai Ahli Parlimen, beliau berpeluang meneliti sendiri Penyata Kewangan Tabung Haji yang diserahkan kepada Ahli Parlimen setiap tahun.

Tabung Haji tidak mempunyai aset mencukupi untuk membayar simpanan pendeposit sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 dan dijangka makin teruk bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Rafizi berkata, Tabung Haji tidak mempunyai rizab keuntungan terkumpul untuk membayar bonus kepada pendeposit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 kecuali ia meminjam wang atau mencairkan asetnya.

“Dituntut Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meletak jawatan serta merta di atas kegagalan beliau memastikan prestasi kewangan Tabung Haji tidak menjejaskan simpanan pendeposit,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Tabung Haji masih menunggu kelulusan Ketua Audit Negara berhubung pengumuman pembayaran dividen kepada pendepositnya.

Manakala Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim,berkata Tabung Haji langsung tidak berdepan sebarang masalah kewangan seperti digembar-gemburkan.

Katanya, semua pendeposit tidak perlu risau dengan perkara dilemparkan dan Tabung Haji juga tidak memerlukan sebarang bantuan daripada kerajaan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.