Categories
NASIONAL

Semua Ahli Parlimen digesa undi tolak TPPA

OLEH: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Ahli Parlimen perlu mengundi bagi menolak pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana ia bakal menjejaskan ekonomi negara dan hak rakyat.

Sehubungan itu, Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah, berkata adalah menjadi tanggungjawab semua Ahli Parlimen yang bersidang untuk membuat keputusan demi kebaikan rakyat dan semua pihak di negara ini.

TPPA“Diseru kepada Ahli Parlimen menolak TPPA pada 26 Januari ini.

“TPPA menjejaskan hak rakyat di negara ini dan ia juga tidak menentukan polisi awam,” katanya dalam himpunan anti TPPA di Padang Merbuk di sini, hari ini.

Maria Chin berkata, pertubuhan itu juga menuntut Kerajaan Persekutuan membaiki mekanisme dan institusi undang-undang dalam merangka polisi ekonomi termasuk menentukan sebarang keputusan dibuat seperti TPPA.

Katanya, langkah itu penting supaya ekonomi negara tidak terjejas kerana faktor multi nasional terutama di sektor pertanian, perubatan serta industri kecil dan sederhana (IKS).

“Kita juga membantah TPPA kerana ia melemahkan dan menghadkan (kuasa) Parlimen untuk menggubal undang-undang.

“Apa yang penting kerajaan perlu menyelesaikan isu tempatan seperti menyalahgunakan kuasa oleh institusi kerajaan, salah guna wang untuk 1MDB dan sebagainya. Semua isu ini mesti diselesaikan sebelum kita membincangkan TPPA,” katanya.

Beliau turut berkata, rundingan berhubung TPPA juga dijalankan kurang ketelusan dan gagal menepati piawaian berkenaan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.