Categories
NASIONAL

TPPA tambah beban rakyat, kos perubatan meningkat

OLEH: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) diwujudkan kuasa besar diketuai Amerika Syarikat (AS) bagi memulihkan ekonomi negara terbabit yang jatuh dan terjejas pada masa ini.

Wakil Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Badlishah Sham Baharin, berkata ia juga sebagai langkah bagi mengekang kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi baru dunia.

TPPA“Barrack Obama (Presiden AS) pernah mengatakan alasan bagi mengadakan TPPA untuk membantu syarikat gergasi negara itu kerana ekonomi mereka sudah hampir hancur maka untuk bangkit kembali adalah menerusi TPPA.

“TPPA ini adalah imperialisme untuk mengawal dunia dan maka dengan itu kita harus menolak dan membantahnya,” katanya dalam himpunan anti TPPA di Padang Merbuk di sini, hari ini.

Beliau berkata, kajian IKRAM dan ahli akademik mendapati keburukan TPPA adalah lebih banyak berbanding kebaikan antaranya kos perubatan, sara hidup dan mendapatkan akses maklumat semuanya meningkat tinggi.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim, berkata TPPA adalah perjanjian yang bakal menambahkan beban rakyat marhaen di negara ini.

Katanya, pihak yang mengaut keuntungan daripada perjanjian itu adalah kalangan pelabur dan pedagang luar.

“Dalam banyak negara di dunia hanya 12 negara terbabit dan menyatakan minat menyertainya dengan Malaysia salah satu daripadanya.

“TPPA dibincangkan kira-kira lima tahun lalu dan ia dijalankan secara rahsia di kalangan perunding daripada 12 negara ini iaitu kandungannya tidak didedahkan kepada umum selama lebih kurang lima tahun.

“Atas desakan rakyat dan tindakan memfailkannya di mahkamah barulah ianya didedahkan itu pun oleh Kerajaan New Zealand,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.