Categories
SELANGOR

SYABAS : Segera bayar tunggakan elak dipotong

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JAN: Pengguna Lembah Klang dinasihatkan supaya segera menjelaskan pembayaran bil air tertunggak untuk mengelakkan bekalan dipotong mulai Januari ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Kumpulan Pengurusan Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata ia ekoran Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) akan menjalankan operasi ke atas premis yang gagal melunaskan tunggakan bil.

Katanya, ia membabitkan kawasan Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor dan Gombak.

“Pelanggan yang gagal menjelaskan pembayaran bil air tertunggak akan diberi notis pemotongan bekalan air.

syabass“Caj pemotongan sebanyak RM35 (tidak termasuk GST) dan caj penyambungan semula bekalan air sebanyak RM35 (tidak termasuk GST) akan dikenakan, seperti diwartakan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (AIPA 2006), iaitu Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Deposit, Fi dan Caj Perkhidmatan Air) 2014,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bil air tertunggak boleh dibayar di semua pejabat SYABAS, bank, agensi terlantik dan kemudahan lain.

Untuk maklumat lanjut berkenaan tempat dan kemudahan membayar bil air, sila layari www.syabas.com.my.

Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi telefon pintar mySYABAS secara percuma daripada Google Playstore and Apple Appstore untuk mendapatkan maklumat berkenaan operasi bil air tertunggak dan perkhidmatan SYABAS.

Pada masa sama, pengguna di kawasan Hulu Selangor dinasihatkan supaya menyimpan bekalan air mencukupi ekoran gangguan bekalan air dan tekanan air rendah.

syabasAmin berkata, ia bagi memberi laluan kerja pembersihan tangki air imbangan di sistem rawatan air LPA Kalumpang pada 12 Januari 2016, bermula 8 pagi hingga 9 malam.

“Pengguna di kawasan yang terlibat dinasihati menyimpan bekalan air secukupnya sebelum 12 Januari 2015 bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan ini.

“Segala usaha akan diambil untuk menyiapkan kerja-kerja pembersihan secepat mungkin untuk pemulihan bekalan air lebih awal di kawasan terlibat.

“Antara kawasan terlibat adalah Taman Tempua Bestari dan Gumut Tambahan,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.