Categories
SELANGOR

8 kerusi Ahli Majlis PBT Selangor milik AMANAH

SHAH ALAM, 6 JAN: Lapan kerusi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor dibahagikan kepada wakil Parti Amanah Negara (AMANAH) hasil persetujuan KEADILAN, PAS dan DAP.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah berkata, keputusan itu dimuktamadkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dipengerusikan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, hari ini.

Katanya, buat masa ini lima kerusi sah milik AMANAH iaitu Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

EAN YONG“Tidak penting untuk tahu parti mana yang serahkan kerusi untuk AMANAH, tetapi perkara ini sudah diputuskan Kerajaan Negeri,” katanya dipetik Sinar Harian.

Pada masa sama, Hian Wah berkata, sebanyak 288 kerusi akan diisi bagi penggal 2016-2017 bermula 15 Januari ini.

Bagaimanapun, katanya, dua lagi kerusi milik KEADILAN dan DAP bagi Ahli Majlis Petaling Jaya dan Kuala Langat belum diputuskan nama.

“Untuk ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), kita (MMKN) masih belum muktamad nama.

“286 kerusi sudah dimuktamadkan, bagaimanapun sebelum 15 Januari ini semua senarai nama akan dipenuhkan,” katanya.

Sebelum ini, AMANAH memohon 34 kerusi dengan dua ahli majlis untuk setiap PBT, namun hanya lapan kerusi sahaja diluluskan.

Semalam, Mohamed Azmin berkata, pengumuman perkhidmatan ahli majlis PBT tetap diputuskan sebelum 16 Januari depan.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.