Categories
SELANGOR

101 Pusat Tuisyen Rakyat disedia untuk 5,600 calon SPM 2016

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 FEB: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 berpeluang menyertai kelas tambahan Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bagi memperbaiki keputusan peperiksaan masing-masing.

Penolong Setiausaha Pendidikan, Pengurusan Sumber Manusia Kerajaan Selangor, Siti Syazwani Abdul Latif, berkata, pengambilan pelajar bagi sesi 2016 itu sedang berjalan di semua kawasan DUN bagi memenuh kouta di 101 kelas PTRS disediakan.

tuisyen 2Katanya pelajar dengan pencapaian lemah dan sederhana dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan 4 tahun lalu dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun sebelumnya digalakkan menyertai.

“Kita sediakan kouta 100 pelajar bagi setiap DUN yang bermakna kuota keseluruhan sebanyak 5,600 kesemuanya dan jika ibu bapa berminat menghantar anak mereka, boleh datang ke Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di kawasan DUN masing-masing.

“PKM akan tentukan lokasi kelas PTRS diadakan sama ada di bangunan sekolah untuk menentukan tempat sesuai PTRS dijalankan yang biasanya mereka memilih lokasi memudahkan pelajar hadir,” kata Siti Syazwani kepada SelangorKini di sini.

Syazwani berkata, Kerajaan Negeri juga berharap pelajar terpilih mengikuti tuisyen percuma ini tidak mensia-siakan peluang diberikan dengan menghadiri setiap sesi kelas diadakan.

“Kadang-kala bila diberi percuma, ada pihak tidak berapa menghargai peluang yang ada dan sebab itulah kita perlukan komitmen pelajar itu sendiri untuk hadir mengikut jadual kelas disediakan untuk kebaikan mereka sendiri,” kata Siti Syazwani lagi.

Selain diberikan tempat mengikuti tuisyen percuma, pelajar terpilih juga dijadikan anak angkat kepada Adun kawasan masing-masing bagi memantau perkembangan pelajaran pelajar terbabit.

PTRS merupakan salah satu program di bawah skim Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) apabila sejak 2008 hingga 30 Jun 2015 seramai 29,654 pelajar menerima manfaat daripada program yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM16,145,564 ini.

Mata pelajaran ditawarkan adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.