Categories
KENYATAAN MEDIA

Bersama Gembleng Kekuatan Rakyat

Oleh: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Saya mengalu-alukan kenyataan tegas YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pada hari ini mendesak supaya berlaku reformasi dalam institusi negara.

Pendirian tersebut adalah selaras dengan perjuangan KEADILAN, parti-parti pembangkang dan masyarakat madani selama ini. Perjuangan  ini adalah perjuangan reformasi yang dianjurkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ianya adalah titik perubahan untuk negara Malaysia.

Masa telah tiba di mana semua parti-parti politik, organisasi masyarakat madani, pemimpin dan individu perlu bersatu sebagai rakyat yang prihatin untuk tujuan yang lebih besar demi menyelamatkan negara.

Skandal kewangan, kegagalan institusi negara, sekatan ke atas hak dan kebebasan rakyat sehingga terbungkam nilai-nilai bersama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan harus menjadi pendorong untuk menyatukan kita semua demi melaksanakan reformasi.

Kita mesti bangkit di atas perbezaan dengan kesatuan hasrat mengambil-alih tampuk kepimpinan negara yang lemah. Rakyat tidak boleh lagi bertolak ansur dengan pelanggaran hak asasi. Mereka tidak wajar menderita dengan ketidakadilan yang berlaku di tangan pemimpin yang menyalahgunakan kuasa. Rakyat berhak mendapat kehidupan yang lebih baik.

Ikhtiyar bersama ini perlu dijadikan kenyataan demi mengembalikan negara di atas jalan demokrasi yang tulen. Kita masih belum terlambat untuk melakukan perubahan. Seperti mana Tan Sri Muhyiddin, hasrat dan cita-cita rakyat juga untuk merealisasikan sebuah Kerajaan yang adil, amanah dan jujur.

Ayuh, jangan menoleh lagi. Kita harus bersatu demi perubahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.