Categories
NASIONAL

Dividen KWSP menurun, petunjuk ekonomi negara lemah

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 FEB : Kerajaan Persekutuan disaran tidak sewenang-wenangnya menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan bail out syarikat disebabkan kegagalan urus tadbir.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata penurunan dividen KWSP bagi 2015 membuktikan ekonomi negara berada pada tahap membimbangkan yang memerlukan tindakan proaktif.

KWSPKatanya, walaupun pasaran ekonomi dunia mengalami susut nilai dengan kejatuhan harga minyak dan kelapa sawit namun Kerajaan Persekutuan perlu memberi fokus kepada pelaburan yang boleh memberi pulangan positif.

“Pulangan diterima kini agak rendah dengan anggaran pulangan untuk tahun ini tidak begitu menggalakkan sekaligus menjelaskan ekonomi Malaysia tidak mencapai sasaran baik.

“Keadaan ini ditambah lagi kejatuhan nilai harga bahan mentah dan kelapa sawit yang turut menjejaskan pulangan kewangan pendapatan negara,” kata Charles ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini, KWSP mengumumkan pembayaran dividen 2015 ialah sebanyak RM38.24 bilion bersamaan 6.40 peratus yang menyaksikan penurunan sebanyak 0.35 peratus berbanding tahun sebelumnya, 6.75 peratus.

Penganalisis Politik, Datuk Dr Wan Suhami Wan Daud penurunan ini mengesahkan KWSP kini berdepan masalah kewangan yang akhirnya memberi kesan kepada pencarum dan pendepositnya.

“Negara sedang mengalami masalah kewangan serius ditambah pula apabila Kerajaan Persekutuan membuat pinjaman daripada KWSP dan pelaburan kurang menguntungkan.

“Ini akhirnya menjejaskan peratusan pulangan kepada pencarum,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.