Categories
SELANGOR

Generasi muda sudah serik dengan BN

Oleh: NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 15 FEB: Generasi muda serik memberi kepercayaan kepada Umno-Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu ekoran perbezaan besar manfaat diberi Kerajaan Negeri hari ini berbanding pentadbiran sebelum ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata walaupun berjaya menggandakan kepercayaan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Kerajaan Negeri berusaha menambahbaik perkhidmatan.

MB“Rakyat Selangor sudah melalui keperitan di bawah pentadbiran Umno lebih 50 tahun dan tentu rakyat matang memilih perubahan secara besar pada 2008 dan hari ini rakyat gembira dengan perkhidmatan diberikan.

“Bagaimanapun kita terus berikan khidmat sebaiknya tanpa mengira kaum dan agama,” kata Mohamed Azmin pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di tapak Up Town Gombak Setia di sini, malam tadi.

Beliau mengulas seruan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu golongan belia negeri itu mengembalikan Selangor kepada BN pada PRU-14.

Kata Mohamed Azmin, Kerajaan Negeri bersedia memberikan maklumat terperinci program dilaksanakan untuk golongan belia.

“Kita ada Pengerak Belia Tempatan (PeBT) untuk belia tempatan di setiap daerah bagi memastikan aktiviti belia dapat dijayakan dan mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

Sejak mengambilalih Selangor pada 2008, Kerajaan Negeri menawarkan pelbagai manfaat kepada semua lapisan umur termasuk untuk golongan belia menerusi 17 skim di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan lain-lain program diadakan.

Antara program ditawarkan termasuk melibatkan golongan belia, Hadiah Masuk Universiti, Insentif Perkahwinan Belia, Pinjaman HIJRAH untuk peniaga, Program Tuisyen Rakyat, Tabung Anak Pekerja Ladang, Bekalan Air Percuma, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan lain-lain.

 

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.