Categories
NASIONAL

Hanipa: Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat dakwaan Muhyiddin

SHAH ALAM, 28 FEB: Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan kemasukan wang SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, berkata ia susulan kenyataan Muhyiddin bahawa mantan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan kepadanya wujud perbuatan jenayah dilakukan Datuk Seri Najib Razak dalam kes terbabit.

Katanya, meskipun Gani masih enggan memberi sebarang komen terhadap pendedahan terbaru Muhyiddin itu, namun situasi berkenaan menunjukkan ada sesuatu tidak kena.

HANIPA MAIDIN“Mengapa dalam keadaan wujudnya bukti dan keterangan kuat untuk mendakwa Perdana Menteri, tiba tiba bukan sahaja beliau tidak didakwa, sebaliknya mantan Peguam Negara dan mantan Timbalan Perdana Menteri ditamatkan perkhidmatannya?

“Adakah ada campur tangan daripada pihak tertentu sehingga pendakwaan ke atas Perdana Menteri tidak dilakukan?” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Hanipa berkata, keraguan akan timbul jika polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwan itu.

Katanya, ia susulan hasil siasatan berkenaan akan dirujuk kepada Peguam Negara yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri.

“Justeru, saya percaya perlunya satu badan lain yang benar-benar bebas dan telus selain polis dan SPRM untuk membuat siasatan pendedahan terbaru Muhyiddin supaya ia lebih telus, mendalam dan berkesan,” katanya.

Muhyiddin dalam kenyataan semalam mendakwa beliau ditunjukkan bukti oleh Gani berkenaan wang yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib dari syarikat SRC International dan mengesahkannya sebagai satu perbuatan jenayah.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.