Categories
AGENDA NASIONAL

Junjung titah Agong, laksana usul undi percaya terhadap PM

OLEH IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL

SHAH ALAM, 21 SEPT: Semua pihak perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos lalu supaya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dibuat di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin membuat gesaan berkenaan berikutan usul itu penting bagi mengesahkan sama ada Ismail mendapat majoriti di Dewan Rakyat atau tidak.

“Saya minta supaya kalau kita semua menjunjung titah Seri Paduka Baginda supaya adakan usul undi percaya.

“Tiada masalah untuk terima kenyataan peguam negara, ini bukan isu undang-undang semata, tapi juga amalan yang baik. Lepas lantikan hendaklah ada undi percaya, tidak salah untuk adakan,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 18 Ogos, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya perdana menteri yang dilantik perlu mengemukakan segera usul undi di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan jawatan beliau.

Pada 4 September, peguam negara Tan Sri Idrus Harun berkata tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan perdana menteri baharu atau kerajaan pimpinannya kerana ia ditubuhkan mengikut lunas undang-undang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peguam: Hanya Agong boleh batal Ordinan Darurat, Kabinet tiada kuasa

SHAH ALAM, 26 JULAI: Peguam Mohamed Hanipa Maidin menegaskan pembatalan Ordinan Darurat hanya boleh dilakukan Yang di-Pertuan Agong, bukan anggota Kabinet.

Beliau berkata hanya Baginda memiliki kuasa untuk membatalkannya berdasarkan peruntukan Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan berikutan undang-undang itu digubal bawah Artikel 150 (2B).

“Pembatalan itu mesti disahkan atau diperkenan melalui tandatangan Yang di-Pertuan Agong. Dan selepas itu ia wajib diwartakan. Setelah diwarta, ia baru boleh dikatakan sah dibatalkan,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Mohamed Hanipa yang juga ahli parlimen Sepang juga difahamkan pembatalan ordinan berkenaan sehingga kini belum diwarta.

“Oleh itu jika benar, ia mengesahkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah gagal membuktikan pembatalan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Dalam sidang khas Parlimen hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan semua ordinan darurat yang dijadual berakhir pada 1 Ogos ditarik balik pada 21 Julai lalu.

Pengumuman itu mengakibatkan ahli parlimen Pakatan Harapan mempertikai tindakan berkenaan.

Categories
NASIONAL

Hanipa Maidin beransur pulih

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 APR: Keadaan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin dilaporkan semakin baik hari ini selepas beliau menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengalami pendarahan otak, baru-baru ini.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus memaklumkan, Hanipa kini mula sedar dan mampu menggerakkan anggota tangan dan kakinya.

HANIPA MAIDIN“Alhamdulillah, perkembangan beliau semakin baik hari ini. Beliau sudah mula sedar, mengenali orang sekeliling dan menggerakkan tangan dan kaki.

“Teruskan berdoa agar YB Sepang kita cepat sembuh dan diberikan kesihatan yang baik,” katanya dalam kenyataan.

Hanipa sebelum ini, terpaksa dibawa keluar dari Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen selepas beliau dipercayai pengsan secara tiba-tiba.

MB lawatHanipa dikejarkan ke Institut Jantung Negara, bagaimanapun, beliau didapati memerlukan pembedahan otak kerana mengalami pendarahan kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sempat meluangkan masa menziarahi beliau dan mahu semua pihak mendoakan kesihatan Hanipa pulih seperti sediakala.

-nR-

Categories
NASIONAL

Hanipa: Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat dakwaan Muhyiddin

SHAH ALAM, 28 FEB: Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan kemasukan wang SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, berkata ia susulan kenyataan Muhyiddin bahawa mantan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan kepadanya wujud perbuatan jenayah dilakukan Datuk Seri Najib Razak dalam kes terbabit.

Katanya, meskipun Gani masih enggan memberi sebarang komen terhadap pendedahan terbaru Muhyiddin itu, namun situasi berkenaan menunjukkan ada sesuatu tidak kena.

HANIPA MAIDIN“Mengapa dalam keadaan wujudnya bukti dan keterangan kuat untuk mendakwa Perdana Menteri, tiba tiba bukan sahaja beliau tidak didakwa, sebaliknya mantan Peguam Negara dan mantan Timbalan Perdana Menteri ditamatkan perkhidmatannya?

“Adakah ada campur tangan daripada pihak tertentu sehingga pendakwaan ke atas Perdana Menteri tidak dilakukan?” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Hanipa berkata, keraguan akan timbul jika polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwan itu.

Katanya, ia susulan hasil siasatan berkenaan akan dirujuk kepada Peguam Negara yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri.

“Justeru, saya percaya perlunya satu badan lain yang benar-benar bebas dan telus selain polis dan SPRM untuk membuat siasatan pendedahan terbaru Muhyiddin supaya ia lebih telus, mendalam dan berkesan,” katanya.

Muhyiddin dalam kenyataan semalam mendakwa beliau ditunjukkan bukti oleh Gani berkenaan wang yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib dari syarikat SRC International dan mengesahkannya sebagai satu perbuatan jenayah.

-AA-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Wujudkan ‘hak untuk tahu’ di dalam Perlembagaan

OLEH : Mohamed Hanipa Maidin

Baru baru ini Peguam Negara ( “AG” ) dilaporkan berkata bahawa beliau ingin mencadangkan pindaan kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 ( OSA ) agar hukuman penjara seumur hidup dan 10 rotan dikenakan ke atas mereka yang membocorkan rahsia kerajaan dan juga wartawan yang melaporkan .

Selanjutnya beliau juga dilaporkan menyatakan ” the right to know is not granted in the constitution.”( hak untuk tahu tidak diberikan oleh Perlembagaan )

hanipa maidinBetulkan hak untuk tahu tidak diberikan oleh Perlembagaan? Dengan hormat, saya rasa kenyataan AG itu tidak betul dan tidak tepat.

Ya, kalau kita nak cari perkataan” hak untuk tahu ” dalam Perlembagaan, memang kita tak akan jumpa. Begitu juga kita juga tidak akan berjumpa “hak untuk menulis” atau “hak untuk berbeza pendapat ” dalam Perlembagaan. Adakah itu bermakna hak hak itu tidak wujud dalam Perlembagaan?

Ya, kalau lihat dalam Artikel 10 Perlembagaan yang ada hanyalah hak kebebasan untuk bercakap atau berekspresi. Tapi itu bukan bermakna hak bercakap itu hanya terhad untuk kita bercakap semata mata.

Sebaliknya hak bercakap itu merangkumi hak untuk kita menulis, hak untuk mendapat maklumat dan juga hak kita untuk tahu.

Semua hak itu berkait rapat dengan hak bercakap kerana tanpa hak hak tersebut, hak bercakap jadi tidak berguna. Kalau tidak ada hak untuk tahu buat apa dibenarkan Ahli Parlimen tanya Menteri di Parlimen.

Dalam satu kes Mahkamah Persekutuan melibatkan Kerajaan Kelantan, Mahkamah menafsirkan bahawa hak berpersatuan termasuk hak untuk keluar dari persatuan meskipun dalam Perlembagaan hanya menyebut hak berpesatuan tanpa sebut hak untuk keluar dari Persatuan.

Justeru itu, hak untuk tahu amat berkait rapat dan sebahagian daripada hak bercakap dalam Perlembagaan.

Wallahu a’lam.

* Mohamed Hanipa Maidin adalah Ahli Parlimen Sepang dan Pengerusi Kanun
Parti Amanah Negara

Categories
NASIONAL

Suruhanjaya DiRaja siasat dalang kerugian MAS

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Pakatan Rakyat (Pakatan) menggesa Suruhanjaya Siasatan DiRaja dibentuk bagi menyiasat pihak bertanggungjawab yang mengakibatkan kerugian Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Hanipa Maidin (PAS-Sepang) yang mengemukakan cadangan itu berkata, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga perlu diberi kebenaran menyiasat antara alasan pemecatan kakitangan iaitu ‘kegagalan MAS untuk bersaing dalam pasaran’.

hanipa maidin“Sebagai Ahli Parlimen Sepang, saya menerima kehadiran ramai kakitangan yang tidak berpuas hati cara pengendalian pemberhentian kerja mereka.

“Menjadikan persaingan antara faktor pemberhentian kerja satu perkara yang tidak boleh diterima. Tindakan itu menunjukkan tidak ada komitmen untuk mencari punca MAS rugi,” katanya.

Hanipa berkata, beliau mendapat beberapa maklumat berkenaan pemecatan kakitangan MAS namun tidak boleh didedahkan kepada umum demi menjaga keselamatan mereka yang mendapat tawaran kerja baru.

Tegasnya, proses pemecatan kakitangan perlu dihentikan selagi suruhanjaya itu belum ditubuhkan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Hanipa : PR Dijangka Buat Kejutan Di Sepang

hanipa maidin

SEPANG 4 MEI : Pakatan Rakyat (PR) yakin membuat kejutan di Parlimen Sepang dengan merampas kawasan itu daripada BN selain tiga DUN, Dengkil, Sungai Pelek dan Tanjung Sepat dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) Ahad ini.

Calon PR Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, keyakinan itu berikutan sokongan rakyat yang dilihat meningkat dengan ketara dari masa ke semasa sehingga kini.

“Saya yakin rakyat ingin memberi peluang kepada PR untuk menjadi kerajaan baru di Putrajaya. Mereka bersedia untuk menjadikan saya sebagai Ahli Parlimen di sini. InsyaAllah.

“Saya percaya peluang untuk kita membuat kejutan di Sepang dan semua DUN yang kita bertanding ini,” katanya.

Katanya, PR hanya tewas tipis di Sepang pada 2008 dengan 4,800 undi berbanding lebih 20,000 undi (2004).

“4,000 lebih bukanlah begitu besar dalam konteks politik sekarang kecuali ada penipuan yang saya harap tidak akan berlaku.

“Tambahan pula kita tahu terdapat dua tokoh Umno yang berpengaruh bertanding bersaing dengan calon BN yang sedikit sebanyak akan memecahkan undi yang membantu kita,” ujarnya.

Masalah dihadapi Umno-BN di Sepang ketara apabila beberapa cawangannya terbubar dengan kemasukan ahlinya ke dalam PKR dengan jumlah besar di samping ahli dan penyokong sedia ada yang menyatakan sokongan terhadap PR.

Ini berikutan kejayaan PR mentadbir Selangor dengan cemerlang menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang banyak membawa faedah kepada masyarakat.

Calon PR DUN Dengkil, Borhan Aman Shah menyatakan ini adalah peluang keemasan untuk PR mencipta kejayaan.

“Pertandingan lebih daripada dua calon di semua kawasan adalah petanda Umno-BN menghadapi masalah. Ini peluang terbaik untuk PR menawan semua tiga DUN dan Sepang daripada BN.

“Perlu diingatkan DUN Tanjung Sepat pernah dipegang wakil rakyat bukan BN selama tiga penggal sebelum ini maka ia tidak mustahil akan berulang,” katanya.

Categories
NASIONAL

Samseng Umno-BN Dilepas, Aktivis PR Diburu dan Ditahan

SHAH ALAM, 6 DIS : Kejadian samseng politik yang semakin berleluasa di Malaysia adalah kerana pihak berkuasa tidak mengambil tindakan tegas terhadap penyokong Umno-BN yang melanggar batasan undang-undang.

Penasihat Undang-undang PAS, Hanipa Maidin berkata, banyak aduan yang dilaporkan kepada polis oleh Pakatan Rakyat (PR) berkenaan kejadian samseng politik yang didakwa dilakukan oleh penyokong Umno-BN.

Akan tetapi tiada tindakan daripada Polis terhadap aduan-aduan tersebut. Sebaliknya tindakan yang cepat dan tegas diambil oleh Polis terhadap penyokong PR.

Hanipa merujuk kepada insiden membaling cat ke Bas milik PKR semasa Jelajah Merdeka Rakyat di Melaka, di mana seorang pemuda di rakam dalam perbuatan itu.

Begitu juga dengan insiden ?senaman punggung? di hadapan rumah Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Sebaliknya tindakan pula diambil terhadap mereka yang menyertai siri perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur sehingga diburu dan ditahan oleh Polis.

Begitu juga dengan beberapa pemuda yang diburu sehingga terpaksa meminta maaf secara terbuka kerana memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada satu perhimpunan Ogos lalu.

Ujar Hanipa, politik samseng adalah satu keadaan di mana mereka yang terlibat tidak bersedia dengan kepelbagaian idea dan akhir sekali mencetuskan pertembungan fizikal.

“Sewajarnya politik adalah pertukaran idea dan kebebasan serta diberi ruang untuk melontar pendapat.

“Pihak yang terlibat dengan samseng ini apabila idea mereka ditolak oleh golongan masyarakat,” katanya.

“Apabila idea mereka tidak boleh diterima dan ditolak oleh masyarakat maka (mereka) tidak senang dengan keadaan ini serta iri hati dengan idea-idea yang dikemukan sesuatu pihak maka di situ timbulnya politik samseng,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar kali ke-16 yang mengetengahkan topik ‘Politik Samseng Di Mana Maruah Kita’.

Kira-kira 500 hadirin hadir dalam wacana itu yang diadakan di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15 di sini.

Turut tampil dalam wacana ini, Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Categories
NASIONAL

Dituduh ‘Pengkhianat’ Pendedahan Musa Hassan Demi Kebaikan Polis Dan Negara

SHAH ALAM, 6 DIS : Tan Sri Musa Hassan menegaskan walaupun ada pihak yang melabelkan beliau sebagai ‘pengkhianat’ kerana mendedahkan campurtangan yang berlaku dalam urusan Polis, namun ia adalah untuk kepentingan Polis sendiri.

Bekas Ketua Polis negara itu berkata pendedahan beliau mengenai campurtangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hissammuddin Hussein adalah supaya professionalisme Polis dipelihara sebagaimana diperuntukkan undang-undang.

Sebelum ini, Musa mendedahkan bahawa semasa pentadbirannya,
Hishammuddin memberikan arahan kepada pegawai polis bawahan tanpa merujuk kepadanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Harian kali ke-16 yang mengetengahkan topik “Politik Samseng, Di Mana Maruah Kita”.

Musa merupakan Mantan Ketua Polis Negara yang memegang jawatan itu selama empat tahun sejak tahun 2006 sebelum digantikan oleh Tan Sri Ismail Omar pada 13 September 2010.

Musa berkata tindakan campurtangan politik bertentangan dengan Seksyen 4 (1) Akta Polis 1967, yang mengatakan arahan dan kawalan polis adalah di bawah Ketua Polis Negara (KPN) dan bukan di bawah kuasa Menteri.

Di dalam topik yang sama, beliau berkata, politik samseng dapat diatasi sekiranya Polis bersikap adil terhadap semua parti politik.

“Polis ini tidak boleh bersikap tidak adil. Jika sudah ada aduan dibuat samada oleh pihak Pakatan Rakyat atau Kerajaan maka kena buat siasatan.

“Apabila sudah nampak satu pihak menceroboh masuk maka di situ pihak Polis kena bertindak,” katanya yang merujuk kepada pergaduhan di ceramah PKR di Gombak pada malam Dis 4 yang menyebabkan dua penyokong PR tercedera.

Pergaduhan itu dipercayai dicetuskan oleh penyokong Umno Bahagian Gombak.

“Jika ada diadakan ceramah berlaku di sesuatu kawasan, maka Polis jangan benarkan diadakan ceramah oleh satu pihak di kawasan yang sama.

“Ia akan melagakan kedua belah pihak,” katanya.

Turut tampil dalam wacana ini, Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Penasihat Undang-undang PAS, Hanipa Maidin.

Wacana ini turut menampilkan moderator, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya.