Categories
NASIONAL

Husam dirujuk ke jawatankuasa disiplin PAS

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bakal dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti ekoran tindakannya mengkritik kepimpinan parti mutakhir ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS berkata, nasib Yang Di Pertua PAS Kubang Kerian dan Adun Salor itu diputuskan jawatankuasa dipengerusikan Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok.

“Setelah mengkaji semua aspek termasuk mematuhi prinsip asas yang ada, peraturan terhadap tindakan berat sebelah dan konflik kepentingan, Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan aduan tatatertib ini wajar diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib Parti untuk diputuskan mengikut peraturan dan undang-undang berkatian serta Perlembagaan PAS,” katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Tatatertib diminta untuk mempertimbangkan dan memutuskan keputusan segera bagi mengelakkan kesan tidak baik, tohmahan yang berterusan serta merugikan parti.

Husam sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan tertinggi PAS dalam beberapa isu termasuk Kerajaan Kelantan.

Sementara itu, Husam berkata beliau bersedia bertemu jawatankuasa disiplin parti itu ekoran kritikannya terhadap kepimpinan.

Bagaimanapun, beliau mengutarakan isu dibangkitkan sebelum ini dikatakan bercanggah dengan dasar PAS.

“Insya Allah, saya bersedia menemui jawatankuasa disiplin parti. Saya menunggu kertas pertuduhan rasmi untuk membolehkan menyediakan pembelaan sewajarnya.

“Pada masa yang sama, saya menyampaikan kepada jawatankuasa disiplin nanti perkara bercanggah dengan dasar PAS dan Islam yang dilakukan pihak di dalam PAS yang saya bangkitkan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

EZY

Categories
NASIONAL

‘Budak suruhan’ sebak pemergian Tok Guru Nik Aziz

Oleh: AFIX REDZUAN

KOTA BHARU, 13 FEB: Pemergian Allahyarham Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggalkan kesan mendalam kepada bekas Exco Kelantan, Datuk Paduka Husam Musa.

Sejurus pengebumian selesai, air mata berjujuran mengalir di pipi Husam sambil bersandar di sebatang pokok kerana tidak mampu menahan sebak atas pemergian Nik Aziz yang selama ini dianggap sebagai seorang bapa, guru dan kawan.

Dengan nada hiba dan sayu, Husam mengakui tenang apabila insan yang digelar ‘Tok Guru Nik Aziz’ pergi dalam keadaan yang sangat indah dan mengharapkan pengakhiran hayat beliau juga seperti idolanya itu.

IMG_5908“Malam tadi saya ada di rumah beliau saat Tok Guru Nik Aziz menghembuskan nafas terakhir. Walaupun kami sudah tidak berbual sejak sebulan dua lalu tetapi daripada kerdipan mata dan cara memandang, saya faham kasih dia kepada saya juga kasih saya kepada dia.

“Saya lebih hiba bila Allah SWT mengambil beliau pada malam Jumaat, bagi orang Islam ia adalah malam yang sangat berkat dan mulia.

“Ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Kasih sayang rakyat jelata juga tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

“Allah mengambil Tok Guru Nik Aziz dalam keadaan rakyat menumpahkan kasih. Kita boleh lihat bagaimana orang berpusu-pusu, bacaan Al-Quran berkumandang sejak malam tadi sehingga hari ini.

“Ia adalah satu anugerah Allah, malaikat, penghuni bumi dan langit kepada seorang pemimpin. Saya berbahagia mempunyai seorang pemimpin yang diterima Allah SWT dengan penghormatan seperti ini,” katanya yang menahan sebak ketika ditemui wartawan.

husamKetika ditanya berkenaan pengalaman manis sepanjang berkhidmat di sisi Nik Abdul Aziz, beliau berkata, pengalaman pahit lebih banyak daripada pengalaman manis.

Husam berkata, beliau adalah ‘budak suruhan’ yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit.

Katanya, falsafah politik yang diamalkan Mursyidul Am PAS itu lebih terarah kepada politik kepelbagaian kaum berlandaskan Islam.

“Saya lebih banyak bertugas sebagai budak suruhan beliau untuk menyelesaikan masalah berbangkit dengan pihak istana, mahkamah dan parti lain.

“Tanggungjawab itu membimbing saya supaya lebih matang memahami falsafah politik dan dakwah beliau. Apa yang ditekankan adalah politik kepelbagaian kaum iaitu Malaysia mesti didekati dengan Islam dalam konteks majmuk.

“Ini adalah satu perkara penting yang perlu diwarisi PAS dan generasi muda,” katanya.

Husam antara Exco senior yang berkhidmat bersama Nik Abdul Aziz sepanjang beliau bergelar Menteri Besar Kelantan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Mahkamah Tinggi KL arah NST bayar RM350,000 kepada Husam

SHAH ALAM 17 FEB: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan akhbar New Straits Times (NST) agar membayar RM350,000 kepada Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa kerana didakwa memfitnahnya.

Hakim Datuk Su Geok Yiam, dalam perintahnya hari ini mengarahkan pembayaran itu sebagai gantirugi am, teladan dan kerosakan teruk akibat berita yang dilaporkan oleh akhbar itu.

Menurut laporan The Malaysian Insider, hakim juga memerintahkan kos sebanyak RM10,000 bagi bicara taksiran ganti rugi hari ini dan faedah dari tarikh pemfailan tindakan ini di mahkamah.

Pada 12 April 2013, mahkamah memberikan kemenangan kepada Husam dalam kes ini dan hari ini adalah hari penentuan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh defendan.

PC Husam Musa Putrajaya Persint 9 01Sementara Husam dalam satu kenyataan media berkata kemenangan itu bukan sahaja kepada beliau tetapi kemenangan bersama rakyat sebagai signal lawan fitnah media agar selepas ini dapat melaporkan secara adil dan beretika.

Katanya, keputusan ini merupakan isyarat yang jelas dan nyata bahawa kewartawanan yang jijik dan fitnah tidak akan diberi ruang oleh undang-undang.

Dalam kes ini, NST menyiarkan satu berita yang didakwa memfitnah Husam pada 2008 lalu ketika beliau masih exco kerajaan negeri Kelantan.

Ekoran itu, Husam memfailkan saman terhadap dua lagi defendan dan NST adalah defendan ketiga.

Defendan pertama dan kedua sudah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Husam sebelum ini.

Husam diwakil peguam Mohd Yunus manakala NST diwakili peguam Rishwant Singh.