Categories
KENYATAAN MEDIA

Jawab tujuh soalan sebelum cabar belia

OLEH : NURUL IZZAH ANWAR

Jawapan-jawapan daripada Kerajaan yang sentiasa berubah mengenai isu derma 1MDB dan juga kenyataan balas daripada media asing yang menyangkal kerajaan berulang kembali menerusi episod kemasukan 1.5 juta warga tenaga dari Bangladesh.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia serta Menteri Dalam Negeri baru-baru ini mengikut jejak langkah Perdana Menteri apabila mengumumkan bahawa pengambilan pekerja asing daripada Bangladesh akan dibekukan dan memohon majikan menumpukan pengambilan pekerja tempatan.

Tidak berapa lama setelah menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan Bangladesh dan mendapat tentangan daripada pihak pembangkang serta rakyat kerajaan dengan sewenang-wenangnya mengumumkan pembekuan kemasukan 1.5 juta pekerja asing daripada Bangladesh.

Tambahan lagi, jumlah 1.5 juta kini diperjelas sebagai mewakili permohonan tenaga kerja Bangladesh secara keseluruhan daripada 139 negara.

Dengan kontroversi sebegini struktur aliran kerajaan Malaysia dalam membuat keputusan polisi wajib dipersoal!

warga asing -sosial1. Adakah sebuah tindakan susulan memorandum persefahaman Bangladesh-Malaysia boleh dibatalkan sebegitu sahaja?

2. Senaraikan semua syarikat-syarikat dan industrinya yang memohon dan memerlukan pengambilan pekerja daripada Malaysia. Berapakah jumlahnya? Berapakah peratus yang diwakili Malaysia daripada 139 negara yang diumum Timbalan Menteri Datuk Richard Riot?

3. Apakah status kejayaan pemutihan 6P sebelum ini dan kelangsungan program bagi memastikan lambakan pekerja asing tanpa izin dapat diselesaikan secara berperingkat?

4. Apakah rancangan kerajaan bagi menaik taraf kualiti pekerjaan supaya bagi mereka yang bekerja di bawah sektor 3D sekalipun, mendapat pembayaran yang berpatutan dengan tahap penjagaan minima yang memastikan hak pekerja tidak terabai dan tidak dilayan seperti hamba abdi.

5. Nyatakan secara spesifik bilakah pelaksanaan gaji minima RM1,500 sebulan bakal dilunaskan? Saya boleh menjamin pekerja Malaysia boleh bekerja di kilang-kilang, bidang pembinaan serta perkhidmatan jika gaji minima dilaksanakan.

6. Nyatakan tempoh garis masa pelan merujuk dan melibatkan golongan berkepentingan dalam sidang meja bulat bersama kerajaan ke arah peningkatan levi yang seharusnya dibebankan ke atas majikan bukannya kepada pekerja?

7. Nyatakan pula berapa jumlah pekerja tempatan yang bekerja di luar negara dalam sektor 3D terutamanya di Singapura dan berapa ramai pekerja tempatan yang bekerja di dalam industri kasar seperti minyak & gas dan perkapalan.

Pengambilan lagi pekerja asing akan memberi kesan dan impak kepada pekerja tempatan secara lansung dari segi penggajian. Malah, sasaran untuk mencapai 40 peratus gaji kepada pekerja daripada jumlah KDNK tidak akan tercapai.

Ternyata, Menteri dalam Negeri beserta Timbalannya wajib menjawab persoalan-persoalan di atas secara tuntas sebelum menuding jari kepada belia-belia Malaysia dan mencabar mereka untuk serta-merta bekerja di dalam sektor 3 D – dangerous, dirty and difficult – dengan penggajian yang tidak setimpal!

Adalah menjadi satu kewajipan asas negara untuk menyediakan pekerjaan dengan gaji yang baik terutamanya untuk pekerja tempatan ke arah negara yang lebih baik.

* NURUL IZZAH ANWAR adalah NAIB PRESIDEN KEADILAN/ AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI

Leave a Reply

Your email address will not be published.