Categories
NASIONAL

Jika Najib labur RM2 bilion, Malaysia tak perlu 1.5 juta warga asing

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 FEB: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sepatutnya memulangkan ‘lebihan derma’ RM2 bilion yang diperoleh daripada dermawan Arab Saudi sebaliknya ia dimanfaat membangunkan pasaran kerja demi masa depan modal insan di Malaysia.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil, berkata memandangkan derma itu tidak salah di sisi undang-undang seperti yang dikatakan Peguam Negara, ia boleh digunakan bagi merealisasikan pembangunan pasaran kerja tanpa bergantung kepada warga asing seperti yang pernah dicadangkan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.

Keadaan itu sekaligus mampu menyelesaikan masalah semasa tanpa perlu membawa masuk 1.5 juta warga Bangladesh.

fahmi-fadzil“Dalam belanjawan tersebut, satu dana khas yang bernilai RM2 bilion dicadangkan untuk membantu usahawan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat-syarikat kecil memperbaharui, menggerak dan menyesuaikan operasi untuk memenuhi keperluan gaji minima.

“Walaupun gaji minima hanya salah satu dari beberapa teras utama menyelesaikan masalah pasaran kerja, ia merupakan satu langkah asas yang cukup penting.

“Jika Najib tidak pulangkan ‘lebihan derma’ sebanyak RM2 bilion itu dahulu dan melabur dengan mewujudkan dana khas seperti yang dicadang di atas, saya yakin isu 1.5 juta pekerja warga asing, isu #2kerja, dan isu belia Malaysia bersedia atau tidak mengambil alih kerja 3D tidak akan berada pada keadaan genting seperti yang kita lihat hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, isu pekerjaan harus dilihat dari aspek pelaburan bukan sahaja untuk membina kilang, jalan, dan prasarana pasaran yang lain, tetapi juga pelaburan modal insan dari segi pemahaman hak dan tanggungjawab pekerja terutamanya mengukuhkan kesatuan-kesatuan sekerja.

“Saya gesa Putrajaya untuk hentikan rancangan ‘pelaburan’ 1.5 juta pekerja warga asing sebaliknya fokus kepada pelaburan pendidikan dan modal insan yang merupakan strategi lebih mampan untuk masa depan pasaran kerja Malaysia,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.