Categories
NASIONAL

Ketelusan SPR diragui, hak rakyat tolak Umno dinafi

Oleh : Ermizi Muhamad

SHAH ALAM 16 FEB : Ketidaktelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan hak rakyat dinafikan apabila Umno Barisan Nasional terus kekal mentadbir negara ini, kata Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin.

Beliau mendakwa, rakyat tidak lagi bersama parti itu dengan merujuk perolehan undi popular 52 peratus yang diraih gabungan pembangkang dalam pilihan raya umum 13 lalu.

spr“SPR tidak telus dalam melaksanakan proses daftar undi apabila mereka membuat ketetapan tertentu bersifat berat sebelah.

“Mengapa perlu ada pelbagai prosuder sedangkan sepatutnya rakyat sudah boleh mengundi tanpa perlu melalui proses pendaftaran dan pengundian sangat meragukan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Ketua Wanita KEADILAN itu mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa yang menjelaskan rakyat mempunyai pilihan untuk tidak bersama Umno dan menolak parti ketuanan melayu itu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata rakyat juga boleh meminda Perlembagaan Persekutuan selepas badan itu menarik balik pinjaman pelajaran pelajarnya sebelum ini.

Namun kata Zuraida, kenyataan angkuh Annuar Musa itu jelas menunjukkan Umno sebagai parti tidak berprinsip dan bakal diketepikan rakyat dalam pilihanraya akan datang.

“Majoriti besar pengundi bukan lagi memilih Umno BN. Mereka muak dengan pelbagai skandal dan korupsi dibuat Kerajaan (Persekutuan) sekarang ini.

“Dalam keadaan ini, saya percaya rakyat bangkit dan tidak akan diperbodohkan lagi,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.