Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: 3.7 juta pekerja asing tanpa izin, apa perlu tambah 1.5 juta lagi?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 FEB: Kerajaan Persekutuan disaran menyelesaikan lambakan 5.8 juta pekerja asing yang terdiri daripadanya 3.7 juta pendatang tanpa izin sebelum mengambil 1.5 juta lagi pekerja asing dari Bangladesh.

Kerajaan turut disarankan menguatkuasakan kawalan undang-undang sedia ada bagi mengatasi isu lambakan pekerja asing.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata situasi itu bercanggah dengan agenda ekonomi digariskan Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu mewujudkan 1.5 juta pekerjaan menjelang 2020.

Nurul Izzah“Namun Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tiada angka mutlak bagi kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini kerana ia bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat.

“Perjanjian Malaysia-Bangladesh memeterai kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh dibuat di kala pengumuman penyusunan semula serta penambahan sistem kadar levi pekerja asing berkuat kuasa 1 Februari 2016,” kata Nurul Izzah dalam kenyataan medianya.

Katanya, kerajaan sepatutnya memastikan visi ekonomi berjiwa rakyat dicapai dengan menetapkan gaji minimum RM1,350 bagi tahun ini dan mensasarkan RM1,850 pada 2020 untuk mencapai nisbah 40 peratus gaji daripada jumlah KDNK negara.

Bagaimanapun katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Wahid sekadar menyebut sasaran ini tetapi tiada sebarang rancangan konkrit dalam mereleasasi sasaran ini.

Nurul Izzah menambah, keadaan ini membuktikan bahawa langkah utama dalam melahirkan gaji minima seperti diimpikan adalah menerusi menetapkan penggunaan pekerja asing dalam industri tertentu dan meningkatkan levi pekerja asing kepada RM5,000.

“Khususnya bagi sektor perkhidmatan dan pembuatan, seharusnya tiada pekerja asing digunapakai, untuk sektor pembinaan peratusan maksimumnya 30 peratus dan bagi industri berasaskan agro atau perladangan peratusan maksimumnya pula 50 peratus,” kata Nurul Izzah.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memastikan levi dibayar syarikat dan majikan yang menggaji pekerja asing bukan seperti praktis apabila pembayaran dilunaskan pekerja.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.