Categories
SELANGOR

Piala FA: PKNS FC buat kejutan tewaskan Terengganu

SHAH ALAM 20 FEB: Wakil Liga Perdana, PKNS FC melakar kejutan selepas mengalahkan bekas juara dua kali Piala FA, Terengganu 3-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Tiga gol skuad Semut Merah dijaringkan Matias Nicolas Jadue Gonzalez pada minit ke-46, Gonzalo Manuel Soto (m73) dan sepakan penalti Gabriel Miguel Guerra pada masa kecederaan babak kedua manakala gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan Muhammad Fakrurrazi Musa pada minit ke-60.

PKNS FC LayakJuara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mara ke pusingan ketiga Piala FA selepas menang ke atas lawan masing-masing di pusingan kedua, hari ini.

JDT melakar kemenangan selesa 5-0 ke atas wakil kelab dari Liga Perdana, UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam menerusi jaringan Amri Yahyah pada minit ke-13, S. Chanturu (m-32 dan 36), Amirulhadi Zainal (m45) dan Jorge Pereyra Diaz (m71).

Pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada penghujung perlawanan selepas Amirulhadi diperintah keluar padang oleh pengadil, Khairul Rizal Ismail kerana memijak pemain UiTM FC.

Dalam pada itu, kesilapan kapten pasukan DRB-Hicom FC, Godwin Antwi Birrago yang menjaringkan gol ke gawang sendiri pada minit ke-103 menyaksikan PDRM menang 2-1 ke atas tuan rumah.

Perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi 90 minit.

Ivan Babic meletakkan DRB-Hicom FC di hadapan seawal minit kelapan sebelum Christopher Keli menyamakan kedudukan untuk PDRM pada minit ke-20 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Proton, Tanjung Malim, Perak.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, juara tiga kali Piala FA, Kedah mara ke pusingan ketiga selepas berpesta gol menerusi kemenangan 8-0 ke atas kelab Liga FAM, Megah Murni.

Pemain import dari Brazil, Carlos Eduardo meledak jaringan hatrik pada minit ke-36 dan minit ke-89, sebelum menyempurnakan sepakan penalti, selang seminit kemudian.

Lima gol Kedah dihasilkan Azmeer Yusof pada minit kelima, Sandro Da Silva (m12), Mohd Syazwan Zainon (m24,38) dan Mohd Amirul Hisyam Awang Kechik (m27).

Turut mara ke pusingan ketiga adalah finalis Piala FA 2012, Sime Darby FC yang menundukkan Johor Darul Ta’zim II 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hasil jaringan Nazrul Kamaruzaman pada minit ke-25 dan Muhd Shazlan Abu Samah pada minit ke-52.

Dalam pada itu, jaringan tunggal pemain import dari New Zealand, Kayne Vincent pada minit ke-71 membantu Perlis mengalahkan kelab Liga FAM, Felcra FC 1-0.

Di Stadium Darul Makmur, jaringan pemain import dari Argentina, German Ezequiel Pacheco pada minit ke-111 membantu Pahang FC mengalahkan Terengganu FC II 2-1.

Kedua-dua pasukan sebelum itu seri 1-1 pada aksi penuh 90 minit dengan Safawi Rashid mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan seawal minit kelapan sebelum Pacheco menyamakan kedudukan untuk Pahang FC pada minit ke-45.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.