Categories
NASIONAL

PM, AG jangan ‘bisu’ titah Majlis Raja-Raja

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 FEB : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali diingatkan tidak berdiam berhubung titah Majlis Raja-Raja untuk membuat semakan semula Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat gesaan itu supaya jaminan terhadap prinsip kepada Kesetiaan Kepada Raja dan Negara sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara dihormati.

datuk-ibrahim-tuan-man1“PAS mendesak agar Peguam Negara dan PM berhenti mendiamkan diri dan serta menunjukkan komitmen RUU MKN diperhalusi mengikut saranan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan.

Pada 18 Februari lalu, Majlis Raja-Raja berpendapat, peruntukan dalam MKN perlu diperhalusi bagi tujuan mengekalkan ‘status-quo’ Institusi Diraja dan bukannya bertujuan menolak rang undang-undang itu.

Sesetengah pihak sebelum ini melahirkan kebimbangan RUU MKN jika diluluskan memberi kuasa yang luas kepada Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negara untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan.

Dalam isu berasingan, Ibrahim juga berharap Majlis Raja-Raja meminta Peguam Negara menilai semula keputusannya menolak siasatan SPRM terhadap skandal derma RM2.6 bilion Perdana Menteri.

“Isu ini masih penting kerana persoalan masih membelengui rakyat ialah – apakah SPRM membersihkan PM daripada sebarang tuduhan atau Peguam Negara sendiri mengambil keputusan berlainan daripada hasil siasatan SPRM?

“Jika SPRM menyarankan agar PM didakwa, apa pula alasan Peguam Negara untuk bertindak sebaliknya?” soalnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.